Sukses 2009 Platform Terbaik Hadapi SUKMA Ke-13 di Melaka

SHAH ALAM, 27 Julai - Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) Ke-8 yang berakhir semalam menyaksikan banyak rekod baharu berjaya dicipta oleh atlet-atlet di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata, antaranya menerusi pelumba basikal Nurul Akma Badrul Zaman yang berjaya memecahkan rekodnya sendiri.

Nurul Akma diisytiharkan Olahragawati Sukses pada tahun ini.

“Pencapaian antara yang paling cemerlang adalah Nurul Akhmar Badrul Zaman, atlet lumba basikal Selangor yang telah diangkat dan dinobatkan menjadi Olahragawati SUKSES 2009. Beliau dikhabarkan telah memecahkan beberapa rekod kejohanan, yang juga merupakan salah satunya daripadanya adalah milik beliau sendiri dan pencapaian itu sudah pasti bukan satu kejutan Nurul Akmar juga Olahragawati Harapan Selangor 2008, yang diumumkan dalam anugerah sukan beberapa bulan yang lepas”, katanya.

Amirudin berkata demikian kepada TV Selangor ketika diminta mengulas kejayaan penganjuran Sukses 2009 dan mengenalpasti kelemahan yang ada bagi memperkasakan lagi kejohanan ini pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Batu Caves yakin, Selangor dapat merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka, Mei tahun depan.

Bagi tujuan itu, pencapaian atlet pada kejohanan Sukses kali ini bakal dinilai dengan teliti untuk disenaraikan mewakili Selangor.

“Saya sebenarnya daripada bulan ke bulan sedang meneliti pencapaian setiap sukan yang dipertandingkan untuk kita sama-sama memahami sejauh mana peningkatan atlet-atlet kita dan peningkatan dan pencapaian atlet-atlet luar, atlet-atlet negeri lain, kalau ikut dalam keadaan suskes ini, di mana daya saing yang tinggi dapat ditunjukkan oleh semua atlet, saya percaya kita boleh merampas kembali kedudukan pertama dalam Sukma 2010 yang akan datang”, jelasnya lagi.

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera agar penganjuran Sukses pada 2011 nanti tidak hambar disebabkan kurang sokongan daripada orang ramai.

Beliau berkata, antaranya, kurang mempromosikan kejohanan ini di media massa dan tiada usaha memperkenalkan program ini di peringkat daerah yang menjadi lokasi utama sukan tersebut.

“Saya masih lagi melihat ada kelemahan dari sudut promotion, sebab itu kehadiran orang di beberapa buah venue tu tidak berapa menggalakkan saya kira perlu ada usaha bersepadu daripada semua pihak selepas ini di mana kita melibatkan beberapa segmen lain selain daripada pihak berkuasa tempatan yang mengawal majlis sukan daerah, perlu dilibatkan JKKK pejabat Jawatankuasa Kemajuan Kampung, JKKP, Jawatankuasa Penduduk melibatkan Ahli Majlis dan juga pejabat DUN untuk sama-sama memeriahkan aktiviti dan juga kegiatan Sukses di sesuatu daerah dan juga di suatu tempat tersebut”, jelas Amirudin lagi.

Di samping itu, Amirudin juga mendapati sesetengah daerah membuat persiapan dan latihan pada saat-saat akhir, iaitu seminggu sebelum kejohanan.

“Kedua penyediaan atlet, masih ada beberapa daerah saya lihat persediaan mereka untuk melahirkan atlet masih lagi tidak sempurna, latihan-latihan pusat hanya dibuat kira-kira dua minggu atau tiga minggu sebelum kejohanan itu malahan ada beberapa daerah saya lihat pencapaian atlet mereka seolah-olah mereka tidak berlatih”, katanya.

Dianggarkan kos penganjuran Sukan Selangor kali ini menelan belanja kira-kira sejuta ringgit yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri, selain sumbangan 50 ribu ringgit daripada setiap daerah. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.