Khalid arah peruntukan kerajaan Selangor diaudit

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengadakan audit dalamannya sendiri berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri oleh wakil rakyat pakatan parti DAP, Parti Keadilan Nasional dan PAS.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata audit dalaman akan memastikan bahawa perbelanjaan peruntukan kerajaan negeri oleh wakil rakyat mematuhi prosedur ditetapkan.

"Ini merupakan satu cara untuk meyakinkan rakyat bahawa perakauan dana kerajaan negeri sentiasa dipantau," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Khalid turut mengarahkan keputusan laporan audit itu diumumkan kepada orang ramai dalam tempoh sebulan selepas ia disiapkan.

Keputusan mengadakan audit dalaman itu dilakukan selepas Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, ditemui mati di koridor Tingkat Lima bangunan Plaza Masalam pada 16 Julai, selepas beberapa jam disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta beberapa dakwaan yang memburuk-burukkan Exco daripada DAP Ronnie Liu Tian Khiew dan Ean Yong Hian Wah.

Dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri timbul awal bulan ini apabila anggota Exco Teresa Kok mendedahkan SPRM merampas beberapa fail perbelanjaan tujuh wakil rakyat pakatan daripada Pejabat Daerah Petaling.

Selain Kok dan Yong, mereka yang disiasat adalah Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan), Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya), Dr Cheah Wing Wah (DAP-Damansara Utama), Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku). BERNAMA

terlopong khir tolol! dulu tak buat apa. tau habis duit kerajaan ker!

No comments

Powered by Blogger.