Kesan Pegawai Kontrak Kepada Masyarakat

Oleh : Profesor Dr Abdul Aziz Bari

Dua minggu lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sekali lagi menjadi perhatian di parlimen apabila kedudukan dan prestasinya dipersoalkan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang. Ahli Parlimen Ipoh Timur itu meminta kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tidak melanjutkan kontrak perkhidmatan Musa yang dijadualkan bersara September ini.

Musa dilantik ke jawatan itu ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Beliau yang dilantik pada 2006 sepatutnya bersara wajib pada 2007. bagaimanpun beliau terus berkhidmat apabila kerajaan memberi kontrak dua tahun apabila tarikh bersara wajib Musa tiba. Sehari selepas Lim Kit Siang membuat bising Suruhanjaya Pasukan Polis mengesyorkan kepada kerajaan agar perkhidmatan Musa disambung lagi. Selain Lim veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah juga turut sama memberi komen.

Suruhanjaya perkhidmatan – yang dalam konteks pasukan polis ialah suruhanjaya tersebut di atas – mempunyai peranan dan kuasa untuk melantik, menikkan pangkat, mendisiplinkan dan seterusnya bagi ahli-ahli perkhidmatan berkenaan. Di sisi perlembagaan peranan suruhanjaya perkhidmatan ini penting kerana ia memainkan pernan bagi memastikan bahawa hal-hal pelantikan dan seumpamanya dilaksanakan secara objektif dan tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan kedudukan berkecuali perkhidmatan awam.

Kedudukan dan kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis diperincikan dengan jelas oleh Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh seorang menteri kabinet; selaunya Menteri Dalam Negeri. Ini sudah cukup untuk menjelaskan mengapa suruhanjaya mengesyorkan agar perkhidmatan Musa disambung.

Berbalik kepada penasihat DAP tadi apa yang menjadi fokos penting gesaan beliau ialah apa yang beliau daka sebagai kegagalan Musa untuk membenters jenayah. Beliau memberi beberapa ststistik untuk menyokong hujah beliau. Secara kebetulan hujung minggu lalu Timbalan Pengurusi DAP Tuanku Abdul Aziz Ibrahim juga menyebut soal prestasi Musa meskipun ia tidak disebut secara terus terang. Tengku Razaleigh pula membangkitkan soal kesan buruk tindakan kerajaan menyambung perkhidmatan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang akan bersara kepada anggota-anggota perkhidmatan, khusnya peluang kenaikan pangkat mereka. Ini tidak sukar difahami kerana apabila pegawai paling atas tidak bergerak maka pegawai-pegawai lain di bawah hierarki itu pastinya tidak dapat bergerak ke atas. Dan kebayakanya akan bersara kerana bukan semua akan dilanjutkan perkhidmatan oleh kerajaan melalui kontrak.

Sepanjang ingatan saya, tindakan menyambung perkhidmatan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bersara itu bermula di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan antara 1981 dan 2003. ketika itu bermula amalan yang berbeza dengan amalan sebelumnya. Sebagai contohnya pegawai awam nombor satu – yakni Ketua Setiausaha Negera yang juga Setiausaha Kabinet – tidak semestinya dilantik daripada kelangan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam sebagaimana sebelum ini. Buat masa ini di universiti , naib canselor dan rector tidak semestinya dilantik dari kalangan timbalan naib canselor akademik.

Seperti yang disebutkan tadi. Tengku Razaleigh menyentuh soal kesan tindakan kerajaan itu kepada perkhidmatan awam khususnya semangat dan moral para pegawai yang lain di bawah jawatan itu. Penyambungan itu dilihat ada hubung kaitnya dengan keakraban antara pegawai dengan menteri. Dan ini tidak boleh berlaku kepada semua kakitangan. Maka timbullah budaya mengampu dan berpuak-puak. Ini semua menyebabkan moral dan komitmen pegawai-pegawai kerajaan jadi rendah dan mungkin hilang terus.

Budaya mengampu wujud di kalangan kakitangan awam kerana masing-masing hendak menunjukkna kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada menteri dan kerajaan. Ini berbahaya kerana ia akan menyebabkan kedudukan berkecuali perkhidmatan awam terjejas. Kita telah lihat bagaimana di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu pegawai-pegawai tertentu sanggup melanggar undang-undang etika perkhidmatan kerana menurutkan kehendak orang politik.

Selain melanjutkan perkhidmatan mereka yang bersara, kerajaan juga sudah mula melantik orang dari luar perkhidmatan untuk memimpin agensi-agensi kerajaan. Beberapa tahun lalu seorang yang diketahui rapat dengan Perdana Menteri tiba-tiba dilantik menjadi Ketua Pengarah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelajaran. Apa yang melucukan ialah ketua pengarah baru ini lebih tua dari ketua pengarah yang baru bersara dan digantikannya! Ketua pengarah ini kemudiannya terbukti tidak popular di kalangan pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.

Di atas kertas alasan kerajaan menyambung perkhidmatan secara kontrak memang baik dan cantik bunyinya. Ini termasuklah untuk meneruskan khidmat baik yang tidak kepadatan kepada kerajaan. Apakah ini betul atau tidak perlulah kita nilai dengan melihat setiap pelantikan dan penyambungan itu secara dekat. Daripada rungutan dan sindiran yang kedengaran nampaknya apa yang disebut di atas kertas itu tidaklah meyakinkan. Apatah lagi apabila kelemahan dan kegagalan pegawai berkenaan dipaparkan kepada umum.

Saya fikir amalan menyambung perkhidmatan melalui kontrak tidak baik dan membawa kesan yang negative kepada kedudukan perkhidmatan awam. Tidak secara langsung ia mengheret perkhidmatan ke kancah politik. Ini berlaku kerana mereka yang hendak terus berkhidmat akan mengampu orang politik yang mempunyai kedudukan di dalam kerajaan.

Di dalam keadaan perkhidmatan awanm tidak dibentuk dan tidak dilatih untuk berpolitik fenomena itu akan menyebabkan sebahagian besar daripada pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam patah semangat kerana amalan dan etika perkhidmatan tidak lagi penting; sebaliknya sikap mengampu dan menunjuk setia kepada Perdana Menteri dan para menterinya menjadi-jadi.

Fenomena itu bukan sahaja menyedihkan tetapi juga merosakkan jentera birokrasi awam. Perlembagaan menetapkan bahawa kakitangan awam tidak perlu setia kepada kerajaan – tetapi hanya kepada Negara dan yang di – Pertuan Agong – dengan tujuan supaya perkhidmatan tetap dan tegak di atas prinsip. Biar apa dan siapa pun menjadi tidak menjadi hal kerana mereka tidak di benarkan berubah dan meminda perlembagaan sesuka hati. Ini semua diperkuatkan dengan penubuhan suruhanjaya perkhidmatan yamg disebut di atas tadi.

Pelantikan, kenaikan pangkat dan tindakan disiplin kesemuanya dijalankan melalui undang-undang dan peraturan perkhidmatan yang jelas dan tetap. Dengan amalan perkhidmatan melalui kontrak sejak era Mahathir itu, apa yang dibina sejak zaman pentadbiran British – yang sebenarnya menjadi kekuatan dan punca kestabilan – kian terhakis.

Hari ini perkhidmatan awam dianggotai oleh lebih satu juta orang. Suku juta terdiri daripada angkatan tentera dan pasukan polis. Amalan menyambung khidmat secara kontrak lama kelamaan, selain menghakis kedudukan berkecuali perkhidmatan, akan mengkompromikan kualiti dan profesionalisme kakitangan awam kita.

Saya tidak terfikir Barisan Nasional akan menghentikan amalan itu kerana ia terbukti menguntungkan kedudukan mereka yang makin kritikal. Apakah Pakatan Rakyat bersedia untuk membuat perubahan dan mengembalikan perkhidmatn awam kepada kedudukan asal mereka? Apa pun yang mereka akan lakukan Pakatan perlu sedar bahawa mereka sudah berjanji untuk menjunjung perlembagaan dan ini termasuk dan peranan sebenar perkhidmatan awam.

*** Profesor Dr Abdul Aziz Bari (Mengajar undang-undang di UIAM Gombak).***

sumber : Sinar Harian, 27 Julai 2009

No comments

Powered by Blogger.