Kes Ugut Pegawai, Ahmad Said Diminta Buat Laporan Polis

SHAH ALAM, 28 Julai - Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan diminta membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima ketika menyiasat kes salah guna peruntukan Adun Selangor.

Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, jika Ahmad Said tidak berani berbuat demikian, beliau sedia membantu SPRM membuat laporan polis.

“Saya berbuat demikian kerana saya mahu mempertahankan hak rakyat Malaysia supaya SPRM boleh menjalankan siasatan dengan adil dan saksama. Saya ingin menasihati Ahmad Said supaya jangan mencipta satu konspirasi untuk mencari alasan untuk melarikan tanggungjawab daripada kematian Teoh Beng Hock”,katanya.

Ean berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, tengah hari tadi.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, berhubung ugutan mati yang diterima oleh pegawai siasatan utama SPRM.

“Saya memandang serius tentang isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Said. Tidak patut ada sebarang ancaman untuk mempengaruhi pegawai-pegawai agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan dan membuat keputusan”,katanya.

Dalam laporan itu, Ahmad Said mengesahkan SPRM menerima beberapa ugutan untuk memaksa mereka menghentikan siasatan ke atas kes salahguna peruntukan Adun Selangor.

Ugutan itu menyebabkan pegawai terbabit dipindahkan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. -MURIZA ABDUL HAMID

No comments

Powered by Blogger.