Banyak Kelemahan Ahli Majlis PBT Perlu DiPerbaiki.

TV SELANGOR


Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terhadap tugas ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik setahun lalu, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, terdapat segelintir ahli majlis yang tidak mencapai tahap yang dikehendaki kerana terlalu banyak tangggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.

Mengulas pemilihan ahli majlis pbt baru yang akan diumumkan bulan depan, beliau berkata khidmat ahli majlis sedia ada juga perlu dinilai.

"Saya rasa banyak lagi boleh diperbaiki, satu tahun itu kita masih boleh buat banyak lagi perubahan, perubahan terbesar salah satu melantik NGO dalam ahli Majlis yang memang tidak biasa dilakukan,"katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Temasya Sukan Kerajaan Tempatan peringkat negeri Selangor di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang petang tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan khidmat ahli majlis yang benar-benar dapat menyumbang kepada pembangunan sesebuah kawasan PBT, manakala yang tidak aktif akan digugurkan.

"Kita memilih mereka yang kita anggap boleh menambah nilai usaha mereka mengurus PBT, mereka yang layak kita teruskan lagi, mereka yang tidak layak disebabkan kerjaya mereka akan kita ganti," jelasnya.

Tan Sri Khalid berkata, pemilihan ahli-ahli majlis berbeza dengan amalan kerajaan Barisan Nasional terdahulu kerana selain parti politik, kerajaan negeri turut melantik wakil persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada majlis itu, Tan Sri Khalid turut memeriksa barisan kontinjen pbt yang mengambil bahagian dan menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan sukan ini.

Temasya Sukan Kerajaan Tempatan kali ke 6 yang berlangsung selama empat hari bermula 25 Jun lalu, mempertandingkan 13 acara sukan.

Pasukan tuan rumah, Majlis Perbandaran Klang muncul juara keseluruhan kejohanan.

No comments

Powered by Blogger.