RM545 juta selenggara jalan persekutuan

SEREMBAN: Sejumlah RM545 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara dalam bajet tahun ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Bagaimanapun, katanya peruntukan yang disediakan ini tidak mencukupi bagi memastikan keadaan jalan persekutuan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sepanjang masa.

"Di bawah pakej rangsangan ekonomi seperti yang diumumkan baru-baru ini, sejumlah RM95 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi tujuan penyelenggaraan jalan persekutuan.

"Ini membuktikan kemelesetan ekonomi dunia bukanlah penghalang kepada kerajaan untuk memberikan keselesaan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya pada majlis pembentangan Program Ekspedisi Jalan Persekutuan (Jalan Persekutuan Felda Semenanjung Malaysia) di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Thomas George.

Selaras dengan keputusan kerajaan untuk menambah peruntukan di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua atau 'mini bajet', Shaziman berkata kementerian itu diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta di bawah Program Penurapan Jalan Persekutuan di seluruh negara.

"Sebahagian besar daripada peruntukan ini diperuntukkan bagi kerja penurapan jalan persekutuan di kawasan Felda," katanya.

Beliau berkata ini juga membuktikan pembangunan seimbang yang difokuskan kerajaan terus dilaksanakan tanpa meminggirkan masyarakat Felda di seluruh negara.

Sementara itu, Shaziman berkata kempen 'Sayangi Jalan Persekutuan' yang dilaksanakan sekarang akan menjadi asas kepada pembudayaan semua warga kementerian itu dan pengguna jalan raya supaya menanam sikap cintakan jalan persekutuan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.