Pandikar Amin serah kepada mahkamah tentukan saman Gobind

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan perihal saman anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, terhadap beliau.

Pandikar Amin berkata, saman tersebut sudah pun difailkan dan kini terpulang kepada mahkamah untuk membuat interpretasi terhadap saman itu.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen di sini, beliau berkata tugasnya cuma untuk mempengerusikan mesyuarat supaya ia berjalan lancar.

Gobind memfailkan saman itu Khamis lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana membantah keputusan Speaker itu menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama setahun pada 16 Mac lalu.

Pandikar Amin berkata, kedudukan kerusi Dewan Rakyat kini disusun semula kerana ada Ahli Parlimen yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi,yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, akan duduk berhampiran Tan Sri Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar).

Terdahulu, Pandikar Amin menerima kunjungan hormat wakil Parlimen dari Korea Selatan dan Australia di pejabatnya.

Wakil Parlimen itu hadir sebagai pemerhati sempena Mesyuarat Kaukus Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA) di sini yang akan berlangsung sehingga Rabu ini.

Antara lain persidangan itu membincangkan penyeragaman undang-undang di kalangan negara-negara Asean dalam usaha membanteras ancaman dadah dan penyeludupan manusia. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.