Nizar fail usul cabar Perlembagaan Perak

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan notis usul untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa Perkara 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mohammad Nizar, 52, memfailkan notis usul itu melalui peguamnya Tetuan Leong & Tan di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini dan menamakan kerajaan Perak, Kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan pindaan dalam Perkara 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar isu perlembagaan berkaitan krisis politik negeri Perak, adalah bertentangan dengan Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ini adalah kerana Dewan Undangan Negeri Perak tidak mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP 1996 bagi meminda perkataan "Mahkamah Agung" kepada "Mahkamah Persekutuan" dalam Perkara 63 UTKP.

"Dengan tertubuhnya Mahkamah Persekutuan, Dewan Undangan Negeri Perak telah meminda Perkara 63 Perlembagaan Perak dengan meminda perkataan "Mahkamah Agung" kepada "Mahkamah Persekutuan".

"Sebarang pindaan kepada Perkara 63 selepas Hari Merdeka hendaklah dibuat melalui Perkara 162(1) Perlembagaan Persekutuan, ini kerana bidang kuasa Mahkamah Persekutuan hanya boleh diberikan oleh Parlimen, dan bukan Dewan Perhimpunan Negeri.

"Oleh itu Dewan Perhimpunan Negeri Perak tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP dan ia harus dideklarasikan sebagai batal dan tidak sah," kata Mohammad Nizar dalam afidavit sokongannya.

Dengan notis usul yang difailkan hari ini, Mohammad Nizar turut memohon supaya pendengaran prosiding rujukan undang-undang bagi menentukan siapakah menteri besar Perak yang sah, yang ditetapkan untuk didengar esok di Mahkamah Persekutuan, ditangguh sehingga permohonan itu didengar. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.