Umno Perak mahu adakan kursus Jiwai Umno untuk Kakitangan Kerajaan

Cadangan perwakilan Umno dari Perak, Khusairi Abdul Hamid agar pegawai kerajaan menjalani kursus supaya menjiwai Umno harus dipandang serius. Desakan ini timbul atas alasan bahawa sering berlaku birokrasi di jabatan tertentu yang akhirnya mewujudkan pelbagai masalah kepada Umno yang sudah memerintah selama 12 penggal.

Ini adalah satu sikap yang pelik kepada Umno kerana mereka menjadikan masalah birokrasi dalam Jabatan Kerajaan sebagai alasan tidak dapat buat kerja, walhal merekalah yang mengetuai Jabatan itu sebagai Menteri dan Exco selama 12 penggal.

Alasan remeh ini tidak layak dijadikan alasan untuk memaksa kakitangan awam menjiwai Umno yang merupakan sebuah parti perkauman.

Pada hari ini Umno sebenarnya sudah menjalankan aktiviti doktrinasi Umno dalam Biro Tatanegara (BTN) yang diwajibkan kepada semua kakitangan Kerajaan. Kursus Induksi Umum untuk kakitangan Awam kini digabungkan dengan Kursus BTN yang mana pengisiannya lebih kepada menghasut peserta untuk menyokong Umno.

Dalam kursus berkenaan mereka mengapi-apikan semangat perkauman dengan mengkisahkan semula peristiwa serangan komunis, 13 Mei dan menyanyikan lagu ‘anak kecil Main api’ untuk mengingatkan mereka bahawa bangsa Melayu kini ditindas oleh bangsa lain.

Tidak cukup dengan itu, BTN juga menjadikan isu tangkapan ISA kumpulan Mujahidin Malaysia sebagai modal bagi menunjukan Umno yang memerintah sebagai pelindung rakyat.

Gambar anak Tok Guru Nik Aziz, Nik Adli diulang-ulang untuk mengambarkan Pas sebagai Parti pengganas. Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan sekolah pondok pula didakwa sebagai pusat untuk melahirkan pengganas atau pemecah belah bangsa Melayu.

Khabarnya sekarang ini mereka menambahkan modul baru sesuai dengan apa yang berlaku di Perak. Tindakan Perampasan kuasa diperlihatkan sebagai heroic tetapi mereka yang menjadi mangsa seperti Nizar digambarkan sebagai penderhaka Sultan.

Inilah cara Umno mengajar kakitangan Kerajaan untuk menjiwai Umno. Jika cadangan Wakil Umno Perak ini disambut, maka apa yang berlaku selepas ini pasti lebih teruk lagi dari apa yang berlaku dalam BTN.

No comments

Powered by Blogger.