Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri Baru

Yang dikasihi dan dihormati Perdana Menteri, 31 Mac 2009

Kami ternanti-nanti pengumuman rasmi perlantikan Perdana Menteri Malaysia yang baru. Kami memohon maaf kerana tidak dapat menamakan YAB secara langsung dalam surat terbuka ini kerana tindakan sebegitu akan melanggar kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Budibicara dan kebijaksanaan YAB akan menentukan halatuju demokrasi di negara kita, dan juga masa depan 27 juta rakyat Malaysia. Dalam memimpin Malaysia ke satu era baru, kami merayu agar YAB berpegang teguh dengan prinsip-prinsip utama dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan juga lain-lain dokumen penting penubuhan negara. Kami merayu agar YAB meneruskan usaha berteraskan prinsip kebebasan dan kemajuan yang merupakan asas penting bagi tanah air kita.
Khususnya, kami merayu agar YAB:
1. Menjaga kedaulatan undang-undang. Memastikan, melindungi dan memperjuangkan prinsip Kedaulatan Undang-Undang dengan menghormati kebebasan institusi kehakiman, mengembalikan maruah institusi mahkamah, dan memperteguhkan ketuanan Perlembagaan negara agar rakyat Malaysia daripada semua latarbelakang akan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan kita.
2. Memerdekakan rakyat. Membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan kebergantungan dengan cara menggalakkan keusahawanan, mengurangkan karenah birokrasi dan memastikan sistem percukaian tidak menyekat pembangunan dan inovasi. Memperkuasa setiap individu rakyat untuk menjadi lebih matang dan belajar daripada kesilapan diri sendiri, serta membolehkan rakyat hidup dalam suasana yang mereka pilih sendiri. Mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menunjukkan Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara dengan cara yang mereka rasakan paling sesuai.
3. Mengurangkan pemusatan kuasa. Memperkukuh sistem persekutuan yang kita amalkan. Menerima hakikat bahawa kerajaan pusat tidak akan dapat menyelesaikan semua masalah rakyat. Mengembalikan hak-hak dan kuasa yang sewajarnya dimiliki oleh kerajaan-kerajaan negeri. Menurunkan sebanyak mungkin kuasa ke peringkat yang boleh melahirkan persaingan dan mempertingkat efisiensi perkhidmatan awam. Dan berusaha mewujudkan kerjasama yang baik dengan kerajaan-kerajaan negeri, termasuklah yang dipimpin oleh parti lain.
4. Membebaskan pasaran. Mempertegas komitmen kita terhadap pasaran bebas. Perkuasakan rakyat agar mereka boleh memilih barangan dan perkhidmatan yang mereka mahu tanpa disekat oleh belenggu proteksionisme yang hanya mencacatkan persaingan. Memperakui bahawa kebajikan rakyat akan lebih terjaga sekiranya masyarakat sivil dan sektor swasta mempunyai ruang yang lebih luas serta untuk beroperasi.
Dengan penuh ikhlas, kami yakin bahawa tindakan pantas YAB untuk memimpin masyarakat berteraskan empat prinsip ini akan membawa kepada kesatuan, dan melahirkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan. YAB juga akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang boleh dicontohi dunia, lantas membolehkan setiap individu rakyat Malaysia mengulangi dengan penuh bangga apa yang telah diucapkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di Melaka bahawa negara yang kita cintai ini merupakan sebuah negara yang ditubuhkan berteraskan “prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan”.

Yang benar,
Tunku ‘Abidin Muhriz
Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad
Wan Saiful Wan Jan
Malaysia Think Tank
F6, Taman Tunku
Bukit Tunku
50480 Kuala Lumpur

http://www.malayadaily.com

No comments

Powered by Blogger.