najib bercakap soal kapitalis?

KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem kapitalis yang terlalu mementingkan peranan pasaran bebas untuk meraih kekayaan besar telah membawa kepada krisis ekonomi global yang begitu meruncing.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, sistem yang tiada pengawasan dan terlalu bebas hingga membiarkan pasaran menentukan segala-galanya ternyata tidak boleh membawa keuntungan dan kesejahteraan secara mampan.

"Salah satu daripada pengajaran daripada krisis ini ialah bahawa kita perlu ada pemikiran baru dari segi ideologi, kefahaman mengenai apakah sistem yang terbaik yang boleh menentukan kesejahteraan kita secara berterusan.

"Saya bukan nak katakan pasaran terbuka tidak baik, saya tak katakan sistem kapitalis itu amat buruk, tetapi kalaulah tidak ada pengawasan sama sekali, sistem kapitalis terbuka tanpa pengawasan boleh membawa kemudaratan kepada dunia," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur, di sini, hari ini.

Najib berkata, kegagalan sistem kapitalis terbuka juga telah memberi pengajaran dari sudut nilai di mana manusia hanya mengikut hawa nafsu untuk mengaut keuntungan semaksimum mungkin tanpa memikirkan implikasi daripada tindakan tersebut.

"Sistem kapitalis terbuka berasaskan kepada suatu premis bahawa manusia itu baik, manusia itu ada rasa atau pertimbangan yang menentukan bahawa tidak ada perbuatan yang keterlaluan boleh mengawal hawa nafsunya untuk mengaut keuntungan semaksimum mungkin, tanpa melihat bahawa mengejar keuntungan berlebihan tanpa hadnya, rupa-rupanya boleh membawa kesan yang buruk kepada mereka dan juga kepada masyarakat dunia," katanya.

Najib berkata, krisis ini berlaku kerana ketua eksekutif bank di Amerika Syarikat hendak mengaut keuntungan dari segi bonus bernilai berjuta-juta setiap tahun.

"Lagi banyak dia bagi pinjaman lagi besar bonus tahunannya, sehinggakan di Amerika Syarikat orang yang tak mampu bayar balik pinjaman dapat pinjaman bank. Akhirnya ia membawa kepada keruntuhan sistem ekonomi seluruh dunia," katanya.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata institusi pengajian tinggi tempatan kini bukan sekadar mengajar mata pelajaran atau bidang pengkhususan semata-mata, sebaliknya membentuk manusia yang mempunyai sistem nilainya.

"Kalaulah manusia yang kita jana melalui universiti ini, kalau produknya ialah manusia yang ada kelulusan akademiknya tetapi tidak kita didik nilai yang baik, maka manusia itu dengan kelulusan yang tinggi pun akhirnya boleh membawa kepada kesan seperti mana yang kita lihat hari ini.

Najib berkata, adalah amat penting bagi institusi pengajian tinggi untuk membentuk nilai yang baik tanpa hanya memfokuskan kepada nilai akademik semata-mata.

"Orang yang benar-benar terdidik inilah yang kita kehendaki untuk menggerakkan negara menghadapi dan menangani cabaran lebih besar yang menanti," katanya. - Bernama

geli tekak aku!

No comments

Powered by Blogger.