Mana Orang Agama Dalam Calon MT Umno?


Tulisan ini sekadar meninjau secara mudah kedudukan ‘golongan agama’ dalam Umno. Golongan agama bermaksud mereka yang mendapat pendidikan agama secara formal sehingga peringkat tinggi dan seterusnya terlibat pula dengan profesyen yang berkait secara langsung dengan agama.

Kecuali empat atau lima orang sahaja, semua calon MT Umno saya kenal, sekurang-kurangnya saya pernah melihat mereka di kaca TV atau akhbar. Tambahan pula mereka adalah pemegang jawatan utama atau bekas pemegang jawatan utama negara.

Kesemua mereka sekurang-kurangnya bergelar Datuk kecuali Puad Zarkashi (no 20). Enam daripada 51 calon MT adalah wanita iaitu no 21, 29, 37, 41, 44, 46. Semua mereka tidak termasuk golongan agama.

Di kalangan ramai-ramai itu hanya Abdullah Md Zin (no 23) sahaja yang saya tahu berlatarbelakang pendidikan agama secara formal. Dia bekas Dekan Fakulti Dakwah UKM dan pernah jadi menteri. Selainnya adalah tidak seperti beliau.

Berbeza dengan PAS, Ahli Majlis Tertinggi Umno dibarisi mereka yang tidak berlatarbelakang pendidikan agama seperti Abdullah Md Zin. Sementara Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dibarisi secara seimbang antara golongan agama dan sebaliknya.

Umno tidak ada sayap khusus untuk golongan agama seperti PAS. PAS ada Dewan Ulama yang semua anggotanya adalah golongan agama. Sayap pemuda dan muslimat juga dianggotai secara seimbang antara golongan berpendidikan agama dan sebaliknya.

Begitu juga Pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri. Kecuali Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, selainnya adalah golongan agama belaka.

Kurang pasti mengapa golongan agama kurang mendapat tempat di dalam kepimpinan utama Umno walau pun parti itu ada Biro Agama. Dalam Pergerakan Pemuda Umno sekarang, saya kenal dengan dua orang agama iaitu Firdaus Ismail dan Shamsul Najmi Shamsudin. Mereka berdua bergelar Dato’. Kedua-duanya adalah sahabat saya.

Dalam wanita pula saya rasa tiada orang agama, begitu juga dengan Puteri. Demikian dengan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, tiada orang agama memegang jawatan itu.

Saya tidak mengatakan Umno mengenepikan terus golongan agama sebab mereka ada Abdul Hamid Othman, Yusof Nor, Nakhaei Ahmad, Dusuki Ahmad, Asyraf Wajdi Dusuki, Mashitah Ibrahim, dan ramai lagi. Tetapi nama-nama tadi tidak tersenarai sebagai calon MT Umno untuk pemilihan akan datang.

Beberapa orang Mufti negeri juga diketahui umum sebagai orang kuat Umno, tetapi mereka kekal sebagai penyokong kuat sebab masih kakitangan awam.

Berdasarkan pencalonan, ahli Umno bahagian nampaknya tidak berminat mencalonkan golongan agama. Kalau ditakdirkan Abdullah Md Zin, satu-satunya orang agama yang tercalon kalah dalam pemilihan nanti, bermakna perwakilan juga tidak berminat kepada golongan agama.

Justeru, berdasarkan senario ini, golongan agama memang tiada tempat istimewa dalam Umno. Mereka tidak mendapat kepercayaan ahli Umno untuk memimpin parti itu.

Mereka hanya berupaya berada di ‘kaki lima’ binaan Umno dan dari situlah mereka menyuarakan suara agama mereka. Suara itu mungkin didengari dan mungkin juga tidak. Kalau mereka tiada tempat dalam majlis tertinggi, adakah mereka berpeluang untuk memanaskan kerusi sekurang-kurangnya Naib Presiden pada masa akan datang?

Persoalannya, kalau golongan agama tidak mendapat tempat wajar dalam Umno, mampukah Umno berubah di bawah kepimpinan Najib?

Saya percaya golongan agama di dalam Umno juga orang baik-baik tetapi baiknya mereka tidak kemana-mana sebab mereka tiada kedudukan dalam parti itu. Mereka bukan pembuat dasar tetapi menjadi pencari dalil untuk mengabsahkan dasar. Mereka ingin Umno jadi baik dan elok, tetapi mereka tidak punya cukup kekuatan untuk melakukannya. Inilah agaknya dilema golongan agama dalam Umno.

Kalau ditanya kepada saya, siapakah yang layak mengetuai Biro Agama Umno? Saya kata, Firdaus Ismail. Mengapa? Dia kawan saya dan saya sangat kenal dia. Dulu, dia memang orang kuat PAS. Dialah naqib usrah. Dia kuat PAS sehingga motorsikalnya pun dicat hijau. Tak percaya, tanyalah dia. Kalau dia nafi, maknanya dia mengelat.

Mengapa dicadangkan dia? Ya, dulu dia naqib usrah PAS. Apa salahnya sekarang dia jadi naqib usrah dalam Umno pula. Kalau dia tak mahu juga pun tidak mengapa, Shahidan Kassim pun boleh. Dia lulus Bahasa Arab PMR.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.