'Allah' dalam penerbitan Kristian tak dilarang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tidak lagi dilarang seperti terkandung dalam warta baru dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, awal tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Nizam Zakaria, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, memaklumkan mahkamah bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku responden pertama dalam prosiding semakan kehakiman itu yang difailkan Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, telah mewartakan perintah bertarikh 21 Januari 2009, bertajuk ‘Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009'. Warta itu menyebut "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "Untuk Agama Kristian".

Perintah itu diwartakan 16 Febuari 2009 dan berkuat kuasa pada tarikh itu.

Berikutan perkembangan itu, peguam Porres P Royan, yang mewakili pemohon, Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam, memaklumkan Hakim Lau Bee Lan bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung implikasi perintah itu.

"Jika, selepas perbincangan kami berasa selesa, dengan itu jelas perkara ini mungkin tidak perlu diteruskan dan didengar. Kami akan maklumkan kepada mahkamah jika kami mencapai penyelesaian.

"Masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan," katanya sambil memohon kepada mahkamah untuk memberikan masa dua hingga tiga bulan bagi kedua-dua pihak sebelum menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan semakan penghakiman itu.

No comments

Powered by Blogger.