Mengapa Wakil Rakyat Pas Tidak Lompat?


MB Perak nafi dua exconya daripada PKR akan lompat parti. Sebelum itu, ADUN Umno Bota lompat parti. Ketika Kerajaan Kelantan hanya berkelebihan satu kerusi sahaja dalam penggal yang lepas, tiada wakil rakyat Pas lompat parti. Walau pun seorang ADUN Pas ditawar RM400,000.00 untuk lompat parti, itu tidak berlaku. Ibrahim Ali tidak masuk Pas walau pun pakai simbol Pas. Mungkin kerana dia terfikir atau bimbang akan terlompat.

Pernahkah parti-parti lain selain Pas berfikir, mengapa wakil rakyat Pas tidak lompat parti? Tentu ada rahsianya. Kalau kekuatan Hang Tuah, terletak pada huruf ‘ta’-nya, dimana pula kekuatan Pas? Kerana namanya ada perkataan Islam? Saya tidak fikir begitu kerana Umno pernah mendakwa dia adalah parti Islam ketiga terbesar di dunia. Pas ada Dewan Ulama’? Rasanya tidak juga kerana di dalam Umno juga tidak kurang ulama’ yang handal-handal.

Tentu Pas ada sesuatu yang tidak ada pada Umno dan parti lain. Sesuatu itu apa? Wakil rakyat Pas perlu memotong kadar tertentu daripada elaunnya untuk Pas, tapi dia tetap setia dengan Pas. Saya yakin kalau ada wakil rakyat Pas yang lompat di Kelantan pada penggal yang lalu, dan BN berjaya bentuk kerajaan di Kelantan, dia pasti ditawarkan jawatan lumayan. Setidak-tidaknya pengerusi kepada mana-mana syarikat milik kerajaan. Itu lebih baik daripada menjadi wakil rakyat Pas. Dalam keadaan begitu pun ia tidak berlaku. Mengapa?

Mengagumkan. Kalau ada bekas pemimpin Pas yang tidak berpuashati dengan Pas, dia tidak keluar Pas walau pun dia mengambil sikap berdiam diri dan tidak aktif. Mengapa dia tidak lompat? Saya kenal sangat ramai kawan yang mengisi borang Umno, bukan kerana dia mahu sangat masuk Umno tetapi kerana terpaksa demi kepentingan kerjayanya. Dia dapat untung dalam bisnes, disumbangkannya kepada Pas. Dia isi borang Umno, hatinya bersama Pas. Dia kata kepada saya, “Ustaz jangan bimbang, saya Pas. Umno borang saja”.

Pernahkan Umno terfikir, mengapa ini berlaku? Apa istimewa Pas? Pas janjikan sesuatu yang lumayan? Rasa-rasanya tidak dan semua orang tahu, kalau ingin lumayan masuk saja Umno. Umno ada semua. Wang, kedudukan, ulama’, pangkat, keseronokan, ringkasnya sebut apa sahaja Umno mampu bekalkan, tapi orang keluar juga Umno.

Pas ada apa? Kalau ceramah hulur kupiah kutip derma. Nak beli poster pilihanraya, berhutang daripada orang kaya. Mereka yang terpilih sebagai calon pilihanraya, terkial-kial ke sana-sini memohon simpati, bukan untuk ‘hulur’ kepada pengundi tetapi untuk isi tangki minyak kereta untuk bertemu dan kempen dengan air liur ajak orang undi Pas. Peliknya, orang itu tidak keluar Pas.

Mengapa? Tentu ramai yang berkata Pas ada sistem tarbiahnya yang tersendiri dan unik. Jawapan itu benar.

Tapi, saya fikir ada sesuatu yang sukar diungkapkan dengan lisan atau tulisan. Sesuatu yang difahami hanya dengan merasainya. Kalau orang Umno nak tahu sebabnya, masuk saja Pas. Tapi syaratnya anda jangan bubar Umno kerana kalau Umno dibubarkan, maka tiada lagi parti yang boleh dijadikan perbandingan untuk mencari jawapan, "Mengapa wakil rakyat Pas tiada yang lompat parti?".


http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.