Kalah di Kuala Terengganu, mengapa Najib tidak dihukum?

(Hrkh) - Tindakan Umno/BN meminta Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali bertanggungjawab dan melepaskan jawatan pengerusi berikutan kemasukan Adun Bota ke dalam Parti Keadilan Rakyat menunjukkan Umno berat sebelah. Iklan



Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar kepada Harakahdaily semasa dihubungi bagi mengulas isu berkaitan Tajol Rosli di Perak.

"Mengapa Tajol sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan berikutan isu kemasukan Adun Bota ke dalam KeADILan?

"Mengapa tidak Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu BN, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak dipertanggungjawabkan di atas kekalahan memalukan Umno di sana?," katanya.

Sedangkan kata Kamarudin dalam kes Najib, ia lebih memalukan kerana Parlimen Kuala Terengganu adalah kerusi yang dimenangi Umno/BN pada pilihan raya umum Mac 2008.

"Terang-terang kekalahan di Parlimen Kuala Terengganu amat memalukan Umno dan mengapa Najib tidak diambil tindakan seperti Tajol?," katanya lagi.

Majlis Tertinggi (MT) Umno 29 Januari lalu menerima peletakan jawatan Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta merta.

Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan Najib.

Bercakap kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah ini diputuskan berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai Umno Perak.

"Hanya setakat sampai Mac iaitu sampai selesainya Perhimpunan Agung Umno. Selepas itu akan dilantik ketua baru bagi Umno Perak.

"Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Zahid pun begitu juga sampai selepas perhimpunan agung. Selepas itu keputusan baru akan dibuat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.