Pelancaran Jentera PRK Kuala Terengganu - Malaysiakini


Jentera PRK Kuala Terengganu Dilancarkan - PAS Tidak Harap Kelemahan Musuh Untuk Menang

Kuala Terengganu - Para petugas dan ahli PAS diberi peringatan agar tidak mengharapkan kemenangan parti dari kelemahan musuh sebaliknya mendapatkan kemenangan dari kekuatan parti sendiri.

Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihanraya PAS bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, semalam.

“Pilihan raya adalah suatu perlumbaan. Kita (PAS) usah mencari kemenangan dari kelemahan ‘musuh’ tetapi dapatkan kemenangan itu hasil dari kekuatan diri kita (parti) sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata PAS perlu menggunakan pendekatan kempen yang cermat bagi memenangi hati rakyat dalam usaha mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu mengingatkan jentera parti agar tidak bersikap kasar dan keras terhadap pengundi sepanjang kempen tersebut.

“Kita (PAS) perlu memenangi hati manusia dengan pendekatan yang berhemah dan cermat. Hati-hati manusia tidaklah sekeras ‘batu’ dan boleh menerima perubahan.

“Cara kasar dan ‘keras’ tidak sesuai dan hendaklah dijauhkan dalam kempen-kempen kita (PAS),” ujarnya dihadapan 500 orang para petugas PAS.

Katanya, pendekatan parti kali ini mahukan para pengundi dan rakyat di negeri ini merasa yakin kepada PAS dengan penampilan akhlak yang baik.

Justeru menurutnya, PAS menyertai pilihan raya kecil kali ini dengan tekad mencapai kemenangan kerusi Parlimen tersebut dengan cemerlang.

Katanya, kemenangan PAS adalah amat penting bagi menambahkan lagi satu suara rakyat di Parlimen dan dapat memperkukuhkan kedudukan politik Pakatan Rakyat.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali serta kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ketua Bahagian Parti KeADILan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu, Dr. Abdul Manaf dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing.

No comments

Powered by Blogger.