Mesyuarat UMNO Bahagian Seremban Kecoh Lagi..


Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen semalam mengumumkan beberapa hukuman yang dijatuhkan ke atas ahli UMNO yang melanggar tata etika parti. Antara yang disabitkan kesalahan ialah Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang digantung keahlian selama 2 tahun kerana didapati bersalah melakukan sabotaj dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Apa yang menarik perhatian saya mengenai kes ini ialah berkenaan DISKRIMINASI yang telah dilakukan oleh Lembaga Disiplin dan Pengurusan UMNO.

Sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail juga turut didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin serta Pengurusan UMNO kerana melakukan sabotaj dalam pilihanraya umum ke-12. Namun beliau amatlah 'bertuah' kerana hanya sekadar diberi amaran tanpa menerima sebarang hukuman. Harus diingat bahawa sabotaj yang dilakukan beliau serta kuncu-kuncunya telah menyebabkan BN kehilangan 5 daripada 6 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Seremban. Hanya satu kerusi sahaja iaitu kawasan DUN Lenggeng yang pernah diwakili oleh Datuk Ishak selama tiga penggal sebelum itu dapat dipertahankan oleh calon BN yang baru dalam PRU-12.

Semua orang Seremban sedia maklum bahawa Ishak Ismail melakukan sabotaj parti disebabkan kekecewaan beliau akibat tidak dicalonkan semula sebagai wakil rakyat di DUN Lenggeng dalam PRU-12. Semua orang Seremban juga maklum bahawa Ishak Ismail sedang berhadapan dengan masalah kewangan sehingga rumah agamnya di Melaka telah dilelong (
klik sini). Namun mahkamah hanya akan memutuskan pada bulan Jun 2009 sama ada Ishak Ismail akan diisytiharkan muflis atau sebaliknya. Ahli UMNO Seremban juga sedia maklum berkenaan sabitan kes rasuah yang 'meragukan' berlaku kepada Md Noor Awang apabila beliau berhasrat mencabar Ishak Ismail dalam perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Rayuan Md Noor Awang untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban telah ditolak oleh Najib atas dasar prinsip parti kerana Md Noor Awang telah dituduh rasuah, sedangkan beliau belum dibicarakan atau disabitkan dengan kesalahan tersebut oleh mahkamah. Namun Najib tidak pula menyebut berkenaan prinsip apabila membebaskan Ishak Ismail yang jelas didapati bersalah kerana mensabotaj parti serta masih dalam perbicaraan muflis. Malahan Ishak Ismail turut dibenarkan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban dan sudah tentu akan memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

Pergaduhan dalam mesyuarat UMNO Bahagian Seremban sebelum ini adalah disebabkan rasa tidak puas hati kebanyakan ahli UMNO disebabkan DISKRIMINASI Lembaga Disiplin dan Pengurusan UMNO. Insiden pergaduhan sebelum ini boleh dibaca disini dan disinun. Persoalannya ialah mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah disebabkan Ishak Ismail dahulunya pernah menjadi jawatankuasa Pemuda UMNO semasa sayap UMNO itu diketuai oleh Najib? Adakah hubungan persahabatan yang wujud sekian lama antara Ishak dan Najib telah mengaburi pertimbangan Najib dalam membuat keputusan yang adil? Adakah mustahil jika dikatakan Najib turut campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh Tengku Ahmad Rithauddeen dalam kes Ishak Ismail kerana persahabatan mereka? Hubungan Najib dan Ishak bukan lagi rahsia di Seremban kerana Ishak sendiri pernah mengatakan bahawa dia adalah orang Najib.

Jika Najib mengandaikan bahawa sokongan Ketua Bahagian seperti Ishak Ismail dapat membantunya dalam melaksanakan tugas sebagai Presiden UMNO kelak, maka saya menyarankan agar Datuk Najib fikirkan semula. Sebagai individu bebas yang tiada kepentingan dalam mana-mana parti, saya ingin memaklumkan bahawa inilah antara punca mengapa UMNO tidak disukai oleh golongan muda di Seremban. Pemimpin yang jelas bersalah tetapi tetap diagungkan oleh segelintir ahli UMNO yang jumud pasti akan menimbulkan kebencian ramai. Malah rakyat bertambah meluat apabila pemimpin sebegini turut mendapat sokongan pemimpin tertinggi negara.

Mesyuarat UMNO Bahagian Seremban akan kembali bersidang pada hari Sabtu bersamaan 27 Disember 2008, bertempat di Wisma Theatreatte, Bangunan SUK Seremban. Mungkin ramai yang akan memberi tumpuan kepada mesyuarat kali ini kerana ingin mengetahui sama ada insiden 'baling kerusi' akan berlaku lagi atau tidak. Kemungkinan jumlah bodyguard dikalangan Pekida akan bertambah berbanding dulu serta dewan akan dikunci dengan rantai yang lebih besar bagi mengelakkan insiden lama berulang kembali. Ingatlah bahawa Parlimen Seremban tidak lagi dikuasai oleh BN dan 5 DUN dalam bahagian Seremban kini dikuasai pembangkang. Jangan nanti hanya menang sorak tetapi kampung tergadai. Jika susah sangat nak jalankan mesyuarat bahagian, saya menyarankan agar MT UMNO membuat keputusan menggantung sahaja UMNO Bahagian Seremban serta melantik jawatankuasa Penaja sementara menunggu musim pemilihan akan datang. Semua orang puas hati agaknya. Selamat bersidang.

No comments

Powered by Blogger.