Kuala Terengganu: PKR, DAP akan beri sokongan padu - Malaysiakini


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP akan memberi sokongan padu kepada mana-mana calon PAS yang dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari kelak.

Anwar, yang juga penasihat KeADILan, berkata Kuala Terengganu bukan merupakan kerusi yang selamat bagi mana-mana parti dan Pakatan Rakyat akan berusaha keras untuk memenangi kerusi itu.

"KeADILan dan DAP telah memutuskan untuk memberikan komitmen penuh kepada calon PAS sama ada Mohammad Sabu yang amat berpengalaman atau calon lain yang dipilih untuk bertanding di Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan harijadi ke-56 isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Yayasan Aman,Penanti semalam.

Katanya, Pakatan Rakyat yakin dapat memenangi kerusi itu yang kosong selepas penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton pada 28 Nov.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun ini, Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi mengalahkan Mohamad Sabu dan calon Bebas Maimun Yusuf, 89, dalam pertandingan tiga penjuru.

Selain itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menggesa kerajaan persekutuan menubuhkan panel pakar bebas untuk mengkaji punca kejadian Highland Towers yang runtuh pada 1993 dan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Sabtu lepas. - Hrkh

WRLR : Gambar sekitar DSAI ke Permatang Pauh sempena Hari Raya Qurban dan satu majlis sambutan hari lahir Datuk Seri Dr Wan Azizah diadakan di Yayasan Aman pagi semalam. Turut hadir ialah TKM1 Pulau Pinang. -




No comments

Powered by Blogger.