Tee Keat enggan sah, nafikan Ka Chuan letak jawatan menteri


KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, hari ini enggan mengesah atau menafikan dakwaan bahawa bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan, sudah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan itu berkata, isu itu tidak akan penting lagi apabila beliau mengemukakan senarai cadangan wakil MCA dalam Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai isu yang digembar-gemburkan ini (peletakan jawatan Ka Chuan).

"Setakat ini, saya masih belum mengemukakan sebarang senarai cadangan (wakil MCA dalam Kabinet) kepada Perdana Menteri.

"Apabila saya mengemukakan senarai cadangan itu, maka sama ada `si anu' meletak jawatan atau tidak, itu tidak menjadi mustahak lagi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini yang memetik sumber sebagai berkata Ka Chuan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya dalam Kabinet kepada Ong.

Difahamkan Ka Chuan kini sedang mengikuti lawatan rasmi kementeriannya di Iran.

No comments

Powered by Blogger.