Shahrizat sah tanding Ketua Wanita Umno

Shahrizat dan Rafidah bersalaman selepas mesyuarat Exco Wanita Umno di Menara Dato' Onn, minggu lalu

PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan beliau akan bertanding menentang ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Shahrizat melalui kenyataan dua perenggannya hari ini mengesahkan bahawa beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan itu.

"Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas tentang keputusan Shahrizat itu memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan esok.

"Kenyataan saya esok," katanya menerusi jawapan SMS yang dikirim kepada mStar Online, sebentar tadi.

Keputusan beliau itu sekaligus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat pada Jun depan.

Denagan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Kamilia sebelum ini telah berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno pada minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.

Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku Ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Sebilangan Wanita bahagian juga mula bersuara menolak peralihan kuasa tersebut dan menyifatkan ia bukan kehendak akar umbi.

Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.

Sementara bagi jawatan Naib Ketua pula, Shahrizat menerima 113 pencalonan dan Kamilia 54 pencalonan.

Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984 kecuali untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Bagaimanapun, beliau memenangi semula jawatan itu daripada Dr Siti Zaharah pada pemilihan 2000.

No comments

Powered by Blogger.