Kumpulan setia Pak Lah semakin terpingigir di Kelantan ~malaysiakini



KUMPULAN yang setia kepada Perdana Menteri di Kelantan kini semakin terpinggir selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan tidak mempertahankan kerusi Presiden Umno dan meletak jawatan Perdana Menteri Mac ini.

Ketika diminta mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengakui situasi itu semakin ketara apabila Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan tidak mahu bertanding apa-apa jawatan dalam perhimpunan agung Umno Mac 2009.

Sedangkan sebelum Abdullah mengumumkan peralihan kuasa dipercepatkan beliau dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden sehingga mendapat satu pencalonan daripada Umno Bahagian Machang.

Dalam perkembangan lain, Husam menambah, kerajaan BN dilihat tidak mempunyai langkah konkrit bagi menangani kemelesetan ekonomi dunia, yang kini sedang meranapkan ekonomi Amerika Syarikat.

Biar pun pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) mendakwa kesannya kurang terasa di negara ini, namun penurunan harga getah dan kelapa sawit sudah dirasai golongan petani.

"Kerajaan sepatutnya mempunyai perancangan bagi mengatasi masalah tersebut bagi mengelakkan kesannya semakin melebar di kalangan rakyat di luar bandar.

"Setidak-tidaknya ada stok penimbal bagi memastikan harga getah dan kelapa sawit tidak terjejas teruk seperti berlaku sekarang," katanya ketika ditemui ketika persidangan Dun berhenti rehat.

Bagaimanapun tambah beliau disebabkan pergolakan dalaman Umno menyebabkan isu tersebut kurang diberi perhatian pemimpin kerajaan.

Oleh itu beliau menasihatkan rakyat bersabar dalam menghadapi situasi ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Katanya, jangan pula ada petani menebang pokok getah atau kelapa sawit ekoran harganya merudum sekarang untuk diganti dengan tanaman lain.

"Tetapi saya lihat petani Melayu mudah mengambil sikap terburu-buru sehingga ada yang menebang pokok dokong ketika harganya rendah sebelum ini.

"Kalau sikap itu terus diamalkan sampai bila pun masalah tidak akan selesai dan petani sendiri yang rugi," katanya.

No comments

Powered by Blogger.