alwi tunjuk dia hebat dengan pimpinan PAS&kelantan

KOTA BHARU, 21 Okt (Hrkh) - Antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak, siapa pilihan anda. Namun tanpa berselindung, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dato' Alwi Che Ahmad memilih Abdullah.


Beliau membuat kenyataan terbuka hari ini apabila memberitahu perpaduan Melayu hanya boleh berlaku di era Abdullah.

"Saya dilantik sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri sejak enam bulan lalu, saya sudah berhempas pulas untuk satukan orang-orang Melayu.

"Saya berjaya membawa pemimpin utama PAS dalam satu perbincangan dengan Perdana Menteri di Putrajaya sehingga mereka dapat solat bersama. Ini kerana saya hanya percaya penyatuan Melayu boleh berlaku di zaman Abdullah.

"Namun impian saya membentuk perpaduan ummah tidak menjadi kenyataan kerana Perdana Menteri membuat pilihan sendiri mahu berhenti Mac depan," katanya yang juga Adun Kok Lanas pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.

Bagaimanapu beliau berkata, hak peribadi Perdana Menteri membuat pilihan untuk berhenti Mac tahun hadapan.

Beliau juga memberitahu mempunyai kelainan pendekatan berbanding pemimpin Umno lain di Kelantan kerana mahu melihat bangsa Melayu bersatu dan Kelantan terus mengorak maju.

"Saya juga dilantik menjadi pendamai kepada perbalahan yang berlaku di bahagian-bahagian sekarang. Mudah sahaja teori saya bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Saya sebut kepada mereka hendak kepada syurga atau neraka. Hasil teguran saya itu menyebabkan banyak bahagian Umno yang bermasalah dapat diselesaikan," katanya.

Pada ucapan selaku ketua pembangkang di Dun Kelantan beliau lebih menekan kepada perpaduan Melayu tanpa mengira ideologi politik.

Baginya perpaduan Melayu lebih penting sama ada mereka berjuang bersama Umno atau PAS yang dianggapnya hanya berbeza dari segi pendekatan politik.

Kata beliau perbezaan di antara orang PAS dan Umno hanyalah dari segi pendekatan berpolitik, sedangkan kiblat mereka sama iaitu mengesakan Allah Taala.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa ketika diminta mengulas pergolakan Umno sekarang katanya, kumpulan yang setia kepada Perdana Menteri di Kelantan kini semakin terpinggir setelah Abdullah membuat keputusan meletak jawatan Mac depan.

Situasi itu mulai dilihat sekarang apabila Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan tidak mahu bertanding apa-apa jawatan dalam perhimpunan agung Umno Mac 2009.

Sedangkan sebelum Abdullah mengumumkan peralihan kuasa dipercepatkan beliau dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden sehingga mendapat satu pencalonan daripada Umno Bahagian Machang.

Sementara itu dalam perkembangan lain Husam berkata, kerajaan persekutuan dilihat tidak mempunyai langkah konkrit bagi menangani kemelesetan ekonomi dunia, di mana kini sedang meranapkan ekonomi Amerika Syarikat.

Biar pun pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) mendakwa kesannya kurang terasa di negara ini, namun penurunan harga getah dan kelapa sawit sudah dirasai golongan petani.

"Kerajaan sepatutnya mempunyai perancangan bagi mengatasi masalah tersebut bagi mengelakkan kesannya semakin melebar di kalangan rakyat di luar bandar.

"Setidak-tidaknya ada stok penimbal bagi memastikan harga getah dan kelapa sawit tidak terjejas teruk seperti berlaku sekarang," katanya ketika ditemui ketika persidangan Dun berhenti rehat.

Bagaimanapun tambah beliau disebabkan pergolakan dalaman Umno menyebabkan isu tersebut kurang diberi perhatian pemimpin kerajaan.

Oleh itu beliau menasihatkan rakyat bersabar dalam menghadapi situasi ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Katanya, jangan pula ada petani menebang pokok getah atau kelapa sawit ekoran harganya merudum sekarang untuk diganti dengan tanaman lain.

"Tetapi saya lihat petani Melayu mudah mengambil sikap terburu-buru sehingga ada yang menebang pokok dokong ketika harganya rendah sebelum ini.

"Kalau sikap itu terus diamalkan sampai bila pun masalah tidak akan selesai dan petani sendiri yang rugi," katanya. - mj _

No comments

Powered by Blogger.