26 Ketua Cawangan Pemuda Umno Gelang Patah Umum Hilang Kepercayaan Terhadap Ketua Pemuda Bahagian



JOHOR BAHARU, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak 26 ketua Pemuda Umno cawangan di bahagian Gelang Patah hari Jumaat mengisytiharkan mereka telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Ketua Pemuda bahagian itu Norisham Ismail.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Kangkar Pulai Faisal Supada yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata sehubungan itu mereka mahu mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian itu diadakan semula.

Mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah yang mempunyai 46 cawangan diadakan pada 12 Okt lepas.

"Kami telah hilang kepercayaan terhadap Ketua Pemuda Umno bahagian Norisham Ismail dan meminta mesyuarat perwakilan diadakan semula untuk memilih Ketua Pemuda, Naib Ketua dan Anggota Jawatankuasa yang baru," katanya kepada Bernama.

Faisal meminta Jawatankuasa Bantahan Badan Perhubungan Umno Johor menimbang semula keputusan mereka baru-baru ini yang memutuskan bahawa mesyuarat perwakilan Pemuda Bahagian pada 12 Okt lepas itu adalah sah.

Jawatankuasa Bantahan Umno Negeri bagaimanapun mengarahkan Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah mengadakan semula pengundian untuk memilih calon Ketua Pemuda Umno dan Naib Ketua Umno, yang sebelum ini dimenangi oleh Khairy Jamaluddin dan Datuk Reezal Marican Naina Marican.

Faisal meminta Badan Perhubungan Umno Johor supaya menimbang semula keputusan terdahulunya itu berikutan dakwaan berlakunya penyelewengan ketika proses pengiraan undi pada mesyuarat perwakilan tersebut.

Beliau juga mahukan Badan Perhubungan Umno negeri menjadi penyelaras mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah jika mereka bersetuju ia diadakan semula.

Pada mesyuarat perwakilan Pemuda Bahagian yang diadakan pada 12 Sept lepas itu, ia telah diselaraskan oleh Pemuda Umno Bahagian Pulai.

Minggu lepas, sembilan orang anggota jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian tersebut termasuk Naib Ketuanya Mohd Shahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan mereka.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.