10 penyokong Hindraf direman hingga Ahad~malaysiakini


PUTRAJAYA 24 Okt. - Polis memperolehi perintah Mahkamah Majistret Kajang bagi menahan reman 10 penyokong pertubuhan haram, Hindu Rights Action Force (Hindraf) sehingga Ahad ini, bagi membantu siasatan berhubung insiden penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Majistret Nurdiana Mohd. Nazari membenarkan kesemua mereka direman selama tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Polis sebelum itu memohon supaya kesemua penyokong Hindraf itu direman selama 14 hari bagi membantu siasatan berhubung motif perkumpulan semalam, serta dalang di sebalik penyerahan memorandum menuntut pembebasan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam prosiding yang berlangsung lebih empat jam, lapan daripadanya direman di mahkamah manakala dua lagi termasuk seorang wanita direman di Hospital Putrajaya. Kelapan-lapan mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk disoal siasat.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 kerana disyaki bertindak bagi pihak atau membantu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

No comments

Powered by Blogger.