Umno Kelantan dan Pulau Pinang sokong peralihan kuasa 2010

KOTA BAHARU: Umno Kelantan menyokong penuh penyerahan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dijadualkan pada 2010.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan hari ini yang dihadiri hampir kesemua ketua Umno bahagian mencapai kata sepakat mengenai pelan peralihan kuasa itu.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang telah menyatakan hasrat bertanding jawatan Presiden Umno, tidak hadir.

Annuar berkata Umno Kelantan akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan Najib agar peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar.

"Kita mahu Datuk Seri Najib mengambil alih kepimpinan dalam keadaan Umno kuat," katanya.

Di Pulau Pinang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, ketika mengulangi sokongan Umno negeri itu terhadap pelan peralihan kuasa berkenaan, menyeru semua pihak supaya menghormati dengan ikhlas keputusan yang telah dipersetujui itu.

Katanya kesemua 13 bahagian Umno di Pulau Pinang juga mengulangi sokongan mereka untuk mencalonkan Abdullah sebagai presiden dan Najib sebagai timbalan pada persidangan perwakilan masingmasing bulan depan.

"Kami di Pulau Pinang sebulat suara terus mempertahankan kedudukan presiden," katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.