Majoriti Islam Dalam Kerajaan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majoriti ahli parlimen Islam dan bumiputera tetap akan dipertahankan sekiranya Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan baru kelak.

"Saya berikan ketegasan bahawa majoriti ahli parlimen Muslim dan bumiputera itu dapat dipertahankan.

"Pakatan rakyat termasuk DAP menerima kenyataan ini. Tidak jadi masalah sama sekali," kata Anwar dalam satu sidang media di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Di Marang, Terengganu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bersedia untuk mengubah kerajaan dengan syarat kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

PAS juga, katanya meletakkan syarat supaya kerajaan baru itu dikuasai Islam.

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti, perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam.

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah. Dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang penakut. Terang-terang kita sebut, jika wakil rakyat itu penakut, bagaimana hendak buat perubahan. Perubahan itu sementara sahaja,” ujarnya.

Siasah difahamkan, semasa pertemuan tiga penjuru antara Anwar, Abdul Hadi dan Mursyidul Am, Datuk Nik Andul Aziz Nik Mat di Kota Bharu, syarat majoriti Islam itu juga diberikan kepada Anwar oleh Abdul Hadi.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan telah memberikan penerangan tentang kaedah pembentukan kerajaan baru yang akan dibuat oleh beliau dan rakan-rakan Pakatan di Kuala Lumpur.

-SIASAH

No comments

Powered by Blogger.