Ku Li yakin dapat cukup pencalonan tanding Presiden Umno

KUALA LUMPUR:Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau yakin akan mendapat pencalonan yang cukup untuk membolehkannya bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata beliau membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan itu setelah mendapat maklumat balas dan sokongan daripada anggota akar umbi.

"Saya tidak boleh memberitahu apa strategi saya sekarang sebab ia akan menjejaskan peluang saya dalam pemilihan parti.

Insya-Allah saya akan dapat pencalonan yang cukup," katanya pada sesi dialog dengan beberapa pengendali blog di rumahnya di sini malam tadi.

Pada 20 Mac lepas, Tengku Razaleigh melahirkan hasratnya bertanding sekali lagi bagi jawatan Presiden Umno pada persidangan agung parti Disember ini. Pada pemilihan parti pada 1987, beliau mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden Umno tetapi tetapi tewas dengan 43 undi.

Mengulas mengenai keadaan Umno pada ketika ini, Tengku Razaleigh berkata untuk memperkasa dan mengembalikan imej Umno, parti itu perlu menerima dengan terbuka pimpinan dari golongan muda.

"Dengan keterbukaan kepada golongan muda dan orang baru, Umno akan mendapat harapan baru dan mendapat idea yang baru," katanya.BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.