apa pandangan pas pasal pr?


 Pertemuan DS Anwar dan dua pemimpin tertinggi PAS iaitu TG Nik Abd Aziz dan TG Abd Hadi adalah satu perkembangan yang positif. Saya percaya ia bukan sekadar membincangkan kedudukan dan kepentingan PAS dalam kerajaan PR nanti (sebagaimana yang dilaporkan oleh Sinar Harian).

Bahkan ia lebih jauh menyentuh soal survival Islam dan kuasa politik Muslimin di bawah kerajaan PR. Namun saya tidak pasti sama ada pemimpin PAS itu ada menyatakan terma dan syarat PAS sebelum bersetuju menyertai kerajaan PR itu.

Dalam satu wawancara dengan UmmahOnline, Sdr Khalid Samad telah menyebut bahawa syarat PAS telah dipenuhi dalam penubuhan kerajaan PR. Menurutnya, syarat PAS ialah jumlah anggota Parlimen Muslim yang bersama PR adalah majoriti dalam keseluruhan MP yang mendokongannya. Maknanya DS Anwar telah berjaya menarik anggota MP UMNO sehingga mencukupi jumlah yang dikehendaki oleh PAS.

Persoalannya, adalah hanya itu syarat yang dikemukakan oleh PAS untuk menyertai kerajaan PR. Pada amatan saya, jawapannya tidak. Jangan lupa satu penegasan yang dibuat oleh Presiden PAS yang mengatakan bahawa PAS mahukan kerajaan PR yang menjadikan Islam menguasai pemerintahan. Seperti yang saya nyatakan, saya fikir bahawa ucapan Presiden ini bukannya berbentuk syarat tetapi ia adalah satu isyarat. Isyarat bahawa PAS akan meletakkan syarat yang tegas berkaitan survival Islam. Namun, buat masa ini belum ada syarat yang terperinci berkaitan survival Islam dan kuasa politik Muslim.

Semasa menyampaikan Ceramah Nuzul Quran Dan Penjelasan Isu 16 September di Kompleks PAS Kedah 18 September baru-baru ini TG Abdul Hadi menegaskan lagi: "PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS,". Penegasan beliau itu disambut dengan laungan takbir, sebagai tanda sokongan dan kecintaan ahli PAS kepada perjuangan Islam..

Namun demikian, sekali lagi penegasan begini lebih berbentuk longgar, kerana ia boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Istilah ‘dipandu Islam’ dan ‘dipandu orang-orang Islam’ ini terlalu umum untuk dijadikan landasan dalam memahami pendirian sebenar PAS.

Oleh yang demikian, saya berpandangan adalah menjadi keperluan kepada PAS untuk memperincikan syarat dan formula untuk memerintah secara bersama. Selagi tiada kata yang bulat dikalangan pemimpin dan pendokong PAS berkaitan bentuk penyertaan serta had-had penglibatannya dalam kerajaan baru, maka selagi itulah akan terus wujud lontaran pandangan berbeza-beza berkaitan soal ini.

Ada yang berpandangan: “Buat apa kemukakan syarat? Kita sertai dulu tanpa syarat, lepas tu kalau bercanggah dengan prinsip kita, kita keluar lah”. Memang pandangan ini masuk akal. Namun jika diteliti, kita perlu mengambil kira perkara berikut:
  1. Sebaik-baiknya sesuatu tindakan itu diambil selepas kita memahami sepenuhnya apakah risiko dan manfaat. Dengan menggariskan syarat-syarat bermakna kita bersedia untuk berdepan dengan risiko yang mungkin timbul.
  2. Tanpa ada syarat penyertaan menyebabkan wujud dua kelompok yang saling berbeza pandangan. Satu pihak yang ghairah untuk bersama kerajaan baru sehingga langsung tidak menghiraukan risiko yang mungkin timbul. Manakala, satu pihak lagi terlalu risau dan takut dengan implikasi penyertaan kepada survival Islam, sehingga mengambil sikap terlalu pesimis dan negatif terhadap usaha berkenaan. Penetapan syarat boleh mencambahkan fikiran mereka dalam perbincangan bersama seterusnya mewujudkan kata yang bulat berkaitan penubuhan kerajaan baru.
  3. Penyertaan PAS dalam kerjaaan pakatan adalah berdasarkan prinsip pertimbangan antara maslahah dan mudharat. Ini bermakna, PAS hanya boleh bersama dengan kerajaan PR jika ia membawa kepada maslahah. Namun jika menyertainya mendatangkan mudarat lebih besar daripada tidak menyertai, maka PAS perlu meninggalkannya. Maka, PAS sepatutnya sudah mempunyai idea tentang batas-batas mudarat dan manfaat ini sekurang-kurangnya untuk dijadikan rujukan bila ingin membuat keputusan berkaitan sesuatu polisi kerajaan.
  4. Lazimnya setiap kerjasama baik dalam soal perniagaan, dan sosial perlukan kepada terma dan syarat. Apatah lagi dalam membuat kerjasama politik yang mempunyai implikasi yang besar ini.
  5. Sebahagian syarat ini boleh diwar-warkan kepada umum. Cara ini dapat menarik perhatian rakyat untuk menghargai peranan PAS yang teguh mempertahankan agama. Di samping memberikan kefahaman kepada pengundi Islam dan bukan Islam bahawa PAS bertindak berdasarkan prinsip, bukannya kepentingan peribadi.

Jika ada yang masih menganggap bahawa PAS perlu meyokong Projek Lompat seadanya tanpa syarat, maka saya gambarkan senario berikut: (Ini adalah contoh ekstrim untuk anda memahami premis hujah saya—insyaallah ia tidak akan berlaku)

Andainya 35 MP dari BN telah melompat dan menyokong DS Anwar sebagai PM baru. Ini menjadikan blok yang melompat sebagai blok terbesar, melainkan jika mereka berpecah dan menyertai mana-mana parti dalam PR.


Andainya kebanyakan mereka menyeretai PKR dan DAP, dan hanya segelintir yang menyertai PAS. Dan andainya kebanyakan mereka adalah bukan Islam sehingga menjadikan hanya 51% muslim dan yang lain bukan muslim (syarat PAS seperti yang disebut oleh YB Khalid). Anwar dilantik PM.


Oleh kerana DAP parti kedua terbesar, maka Lim Kit Siang menjadi TPM. Kebanyakan kerusi kabinet diisi oleh MP dari PKR dan DAP. PM dari Sabah dan Sarawak juga menuntut hak yang lebih besar berbanding peruntukan kuasa di bawah BN sekarang. Pelantikan tanpa melihat kaum dan agama, tetapi melihat kepada kelayakan (dan janji semasa lompat-jika ada).


Diandaikan, hasilnya nisbah Menteri Muslim hanya 45% sahaja daripada keseluruhan anggota kabinet. (Ni lebih baik dari kabinet bayangan yang digambarkan melalui Blog Kula—Menteri muslim hanya 25% sahaja, baki 75% Menteri bukan muslim). Kementerian penting seperti Kementerian Dalam Negeri dan Pendidikan terpaksa diberikan kepada DAP setelah PKR menggondol kementerian penting lain iaitu Kementerian Kewangan dan Pertahanan.


Semua dasar yang melindungi bumiputera dikaji termasuk kouta universiti, penjawat awam, biasiswa dan sebagainya. Agensi yang bersifat ‘perkauman’ seperti MARA dihapuskan. Peruntukan untuk JAKIM dikurangkan, dan sebahagiannya dimasukkan kepada tabung pembangunan agama-agama lain.


Oleh kerana terlalu sibuk dengan penggubalan dasar baru serta mengambil masa untuk menyesuaikan diri, maka soal utama seperti penghapusan rasuh, agihan kekayaan secara adil dan memulihkan kehakiman hanya dilakukan sambil lewa dan kosmetik sahaja…


Jika senario seperti ini berlaku, apa sikap PAS? Adakah masih terus bersama kerajaan PR atau menyesal lantas isytihar keluar? Masa tu sudah terlambat.

Atas alasan itulah maka PAS perlu mengambil sikap yang lebih objektif iaitu setuju untuk setia dengan PR dan menyertai kerajaan Persekutuan PR. Tetapi dalam masa yang sama menggariskan terma-terma penyertaan agar kewujudan PAS lebih dihargai dan dihormati. Apa yang penting, PAS perlu menjadi benteng mempertahankan aqidah dan kadaulatan Islam di bumi Malaysia tercinta ini…

Dalam tulisan lain insyaallah saya akan gariskan cadangan syarat-syarat yang sesuai diketengahkan oleh PAS.

Hj Ahmad Fitri Yusof
http://wajahesok.blogspot.com"

No comments

Powered by Blogger.