Sertai Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen BN mula hantar SMS pada Anwar

Beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) didakwa menghantar SMS kepada pemimpin Pakatan Rakyat sejak Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim selepas beliau menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu.

Demikian kata Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution semasa ditemui Harakahdaily di Lobi Parlimen semalam.

Ujar Saifuddin, ramai yang mengucapkan tahniah dan ada juga yang mula menunjukkan minat untuk menyertai Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan baru.

Beliau percaya ramai ahli Parlimen BN yang mula berteka-teki dan berfikir untuk berhijrah kepada kerajaan baru yang akan dipimpin Anwar dalam jangka masa tertentu.

"Saya yakin semestinya mereka menantikan detik ini yang mana mereka melihat kemasukan Anwar ke Parlimen selepas 10 tahun dinafikan hak, pastinya harapan baru boleh diimpikan," katanya.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa agenda menukar kerajaan akan lebih awal berlaku dengan signal-signal awal yang diberikan ahli Parlimen BN ini.

Dengan kemenangan Anwar di Permatang Pauh, ia sebagai signal jelas rakyat yang mahukan perubahan dan menolak kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Rakyat menolak BN untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat sebagai agen kepada perubahan, saya pasti ia juga signal kepada pimpinan Pakatan Rakyat agar terus bersatu menjaga amanah yang mereka berikan," katanya

No comments

Powered by Blogger.