'Ramlang tidak kempen untuk Anwar'

Ramlang Porigi, imam yang menjelaskan kehadirannya di acara sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan atas pentas PKR Ahad lepas, tidak pernah berkempen untuk calonnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang peguam imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini:

"Beliau tidak pernah mengatakan undilah PKR walaupun satu patah perkataan. Beliau hanya menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku."

Beliau diminta mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini untuk mengambil tindakan terhadap Ramlang jika didapati berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

ramlang permatang pauh ceramah 250808 02Ahmad Nizam berkata mereka akan mempertahankan imam Masjid Wilayah Persekutuan itu jika dikenakan tindakan disiplin.

"Jika perlu, kita akan membawa kes ini ke mahkamah," katanya yang mengetuai kumpulan khidmat guaman Ramlang (foto, kanan).

Menurut satu sumber masjid di Jalan Duta itu, Ramlang kini sedang bercuti mulai Isnin. Bagaimanapun tidak diketahui bila beliau akan kembali bertugas, tambah sumber.

Menurut Ahmad Nizam, Ramlang kini sedang "tunggu dan lihat" perkembangan selanjutnya sebelum memutuskan untuk meneruskan tugasnya.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata seseorang penjawat awam yang terlibat dalam kempen pilihanraya melanggar peraturan kerajaan.

"Bagaimanapun Jakim akan menjalankan siasatan lanjut mengenai penglibatan beliau dalam perkara ini," beliau dipetik berkata.

"Kita juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada imam berkenaan. Kalau ada bukti yang menunjukkan beliau terlibat secara langsung kita rujuk dengan lembaga disiplin."

No comments

Powered by Blogger.