Pandikar nafi wujud desakan adakan angkat sumpah Anwar esok

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan bahawa wujud desakan terhadapnya supaya upacara mengangkat sumpah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja memenangi kerusi Pilihan Kecil Permatang Pauh semalam diadakan esok.

"Tidak ada desakan. Siapa yang boleh desak saya. Saya dengan kuasa saya, ketua pembangkang dengan kuasanya, Perdana Menteri dengan kuasanya. Masing-masing dengan kuasa masing-masing.

"Tidak ada sebab mengapa tidak boleh angkat sumpah esok apabila sudah diberitahu," katanya kepada media di pejabatnya di Parlimen, hari ini.

Pandikar berkata, beliau juga telah menerima surat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi yang mengesahkan kemenangan Anwar.

Katanya, Anwar akan mengangkat sumpah sebagai ahli baru Dewan Rakyat esok selepas bacaan doa kira-kira jam 10 pagi.

Pandikar berkata, kawalan keselamatan yang lebih ketat sempena kedatangan Anwar di Parlimen esok adalah tidak perlu kerana hanya Anwar seorang sahaja yang perlu datang untuk mengangkat sumpah.

"Hanya seorang yang datang (angkat sumpah). Tidak perlu datang semua.

"Ini persidangan biasa. Cuma kita ada satu kekosongan bagi Permatang Pauh," katanya.

Pandikar berkata, pihaknya masih menunggu jawapan daripada pembangkang berhubung calon yang dipilih untuk menjadi ketua mereka.

Ditanya sama ada akan wujud tekanan jika Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang, Pandikar berkata, beliau menganggapnya sebagai perkara biasa namun berharap tata tertib dalan Dewan akan diberi penekanan.

"Anggapan saya mesti ada tata tertib. Mungkin Anwar boleh mengawal ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang supaya tidak keterlaluan melanggar Peraturan Mesyuarat.

"Walaupun ada pihak yang mengatakan, adanya ketua (pembangkang) yang punya status seperti Anwar akan menyebabkan Dewan bergolak tetapi saya tidak melihat begitu," katanya.

Katanya, Anwar mempunyai pengalaman menjadi ahli Parlimen sebelum ini, justeru beliau mengetahui segala Peraturan Mesyuarat dan tidak akan mempertikaikan kuasanya sebagai Yang Dipertua.

Ketika ditanya kemungkinan pembangkang akan sekali lagi mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan, Pandikar tidak dapat memastikan hal tersebut.

"Politik hari ini mungkin berbeza dengan esok. Mungkin mereka buat (usul tidak percaya), mungkin tidak buat.

"Saya tidak tahu tapi saya ingin katakan sekali lagi, Parlimen memang begitu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.