komen pensyarah kepada BN...dengar lah pak lah

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kecenderungan pengundi memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Permatang Pauh membuktikan bahawa trend penolakan rakyat terhadap parti kerajaan semakin kuat.

Penganalisis politik tempatan, Profesor Dr. Mohamad Mustafa Ishak berkata, mesej itu pada awalnya telah pun disampaikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu hingga menyebabkan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan berlaku pertambahan kerusi mereka di Parlimen.

Sehubungan itu katanya, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO selepas ini tidak harus memandang rendah terhadap keupayaan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang, sebaliknya BN perlu menilai semula pengaruh serta kekuatan yang ada.

''Sekarang kita berada di era rakyat yang semakin berpendidikan. Mereka tahu membuat penilaian. Mereka tidak lagi boleh disogok dengan janji-janji pembangunan semata-mata.

''Sebenarnya mereka mahu lebih daripada itu. Mereka mahukan kerajaan yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab. Mereka mahukan kerajaan yang lebih prihatin terhadap isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melahirkan kebimbangan mengenai keputusan memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam pilihan raya akan menjadi trend kerana para pengundi mahukan perubahan.

Kebimbangan Muhyiddin itu berikutan kejayaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan majoriti 15,671 undi.

Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamad Mustafa yang juga Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sudah tiba masanya BN berubah sekiranya parti itu mahu terus relevan.

''Saya sendiri menjadi takut apabila melihat keadaan yang berlaku dalam BN dan UMNO khususnya. Kita tidak boleh salahkan rakyat kerana mereka tiada pilihan. Mereka pilih PKR kerana mereka 'mual' dengan UMNO.

''Kegagalan BN menyampaikan mesej kepada pengundi Permatang Pauh juga menjadi faktor kekalahan mereka selain daripada faktor kekuatan Anwar sendiri,'' katanya.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa pilihan raya kecil itu merupakan pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum lalu.

Sementara itu seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Agus Yusof berkata, kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil itu merupakan kejayaannya menonjolkan diri sebagai pemimpin rakyat.

Sehubungan itu beliau berkata, tidak hairanlah setiap ceramah yang dihadiri Anwar sepanjang tempoh berkempen berjaya menarik beribu-ribu rakyat.

''Bagi saya BN tidak mahu belajar daripada kesilapan. Mereka gagal memberi mesej kepada rakyat berbanding Anwar. Anwar lebih mengetahui kehendak rakyat berbanding BN,'' tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.