hamid kecewa kena balun kat anwar

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjalankan tugas hari pertamanya sebagai Ketua Pembangkang apabila tidak dapat mengawal kekecohan pada sesi petang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perkara itu terbukti apabila wakil rakyat pakatan pembangkang bertindak keluar Dewan kerana kecewa desakan mereka agar Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas tidak dilayan kerajaan.

''Apabila melihat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) begitu bersatu dan sepakat untuk menolak langkah merujuk rang undang-undang ini ke jawatankuasa berkenaan, pihak pembangkang bertindak keluar dewan kerana bimbang akan kalah dalam undi belah bahagi.

"Kekalahan ini akan memalukan mereka terutama apabila Anwar kini memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Anwar pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hari ini menegaskan usahanya untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat BN berjalan lancar dan yakin pakatan pembangkang boleh membentuk kerajaan pada 16 September ini.

Syed Hamid berkata, keengganan wakil rakyat BN untuk menyokong supaya rang undang-undang itu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas membuktikan dakwaan Anwar bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyokong kerajaan di Parlimen adalah tidak berasas.

''Anwar cuba menggugat perpaduan BN dengan bermacam-macam perbuatan termasuk mendakwa mendapat sokongan ahli-ahli BN tetapi wakil rakyat kita hari ini membuktikan sebaliknya dan bagi saya ini adalah bagus," ujarnya.

Tambah Syed Hamid, janji Anwar untuk memastikan Dewan Rakyat menjadi tempat kedua-dua pihak membincangkan hal ehwal rakyat juga tidak ditunaikan.

''Mereka cuba mempolitikkan rang undang-undang ini tanpa memikirkan ia penting untuk diluluskan segera bagi kepentingan rakyat terutama dalam menyelesaikan kes jenayah," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang tentang masa yang diberikan untuk mereka meneliti rang undang-undang itu tidak cukup, Syed Hamid berkata, ia tidak benar kerana naskhah rang-rang undang itu telah diserahkan kepada semua wakil rakyat tiga bulan sebelum ia dibentangkan.

''Saya lihat jumlah wakil rakyat pembangkang yang terlibat dalam perbahasan adalah lebih ramai daripada pihak BN, jadi dakwaan masa tidak cukup tidak berasas," ujarnya.

Sementara itu, Anwar melahirkan kekecewaan dengan kegagalan Syed Hamid menjawab persoalan mengenai cadangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang supaya rang undang-undang itu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas.

''Keengganan Syed Hamid mengulas mengenai perkara itu amat mengecewakan. Jadi tidak ada erti buat kami untuk terus menyertai perbahasan mengenai rang undang-undang ini.

''Kerajaan nampaknya masih tidak mengambil berat sentimen masyarakat dan tidak peduli tentang perasaan mereka," katanya.

No comments

Powered by Blogger.