Dr M: Mesej Permatang Pauh sia-sia

Dengan gaya sindirannya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ketewasan BN dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh sebagai "mesej yang sia-sia" daripada pengundi kepada penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Mesej yang hendak dihantar oleh pengundi Melayu, Cina dan India menjadi sia-sia kerana Abdullah tidak ada telinga untuk mendengar, tidak ada mata untuk melihat," katanya, mengulas satu lagi prestasi buruk BN selepas kekalahan teruk dalam pilihanraya umum Mac lepas.
Bekas timbalannya yang dipecat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menang dengan majoriti lebih besar - 15,671 undi - berbanding yang diraih presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail lima bulan lepas, 13,388.

Bekas perdana menteri berkata, bagaimanapun mesej dari Permatang Pauh tidak disedari oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin lain Umno.

"Kamu boleh terus sokong Abdullah sebagai presiden parti. Tetapi rakyat tidak akan sokong Umno kerana ia sudah jadi alat Abdullah dan keluarganya.

"Apabila datang pilihanraya ke-13, rakyat akan jatuhkan Umno dan BN kerana hanya dengan cara ini sahaja rakyat akan dapat jatuhkan Abdullah," kata Dr Mahathir, mengulangi analisisnya sebagai serangan terhadap presiden Umno sejak beberapa bulan mutakhir.

Tambahnya, pengundi di kawasan parlimen itu berada dalam kemelut memilih antara Anwar dengan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah tetapi "dengan berat hati penyokong-penyokong BN telah mengundi PKR supaya Abdullah akan sedar yang kepimpinannya tidak dikehendaki lagi."

"Wang yang banyak telah ditabur atau dijanji akan ditabur. Pekerja BN dibayar saguhati. Calon yang diletak sesuai juga.

"Apakah yang tidak kena dengan BN sehingga pengundi memberi kelebihan undi yang lebih banyak dari bulan Mac kepada Anwar yang enggan bersumpah (isu liwat)," rungutnya.

Dr Mahathir kemudian mengulangi kata duanya kepada Umno, sama ada memaksa Abdullah meletakkan jawatannya sekarang atau terpaksa mengalami ketewasan teruk lagi dalam pilihanraya umum akan datang.

"Untuk pulihkan sokongan kepada Umno dan BN, Abdullah perlu bertanggungjawab dan letak jawatan sekarang.

"(Tindakan) ini akan memberi masa empat tahun bagi pemimpin-pemimpin Umno berusaha untuk menarik balik penyokongnya dan BN.

"Jika ditunggu hingga Jun 2010, masa yang tinggal untuk pemulihan hanyalah dua tahun; terlalu pendek untuk kerja yang berat ini," katanya.

http://www.malaysiakini.com/news/88703

No comments

Powered by Blogger.