BUAT DULU BARU BOLEH CAKAP

Kerajaan pertimbang lebih awal ringan beban pengguna

KUALA LUMPUR: Harga petrol dan diesel dijangka turun lagi mengikut kadar harga minyak dunia, sekali gus dapat meringankan beban rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jelaing Mersat, berkata kerajaan memang berhasrat untuk menurunkan lagi harga minyak selepas kajian semula yang dilakukan dalam tempoh dua minggu atau sebulan.

"Harga minyak diturunkan lebih awal berbanding janji kerajaan untuk menurunkan harga pada 1 September ini adalah untuk meringankan beban rakyat lebih awal.

"Jika perlu, selepas kajian semula yang dilakukan bagi tempoh dua minggu atau sebulan, kerajaan bercadang akan meringankan lagi beban rakyat pelbagai peringkat dan mungkin menurunkan lagi harga bahan api itu mengikut kadar harga minyak setong di pasaran dunia," katanya menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang ingin mengetahui adakah kerajaan berhasrat untuk menurunkan lagi harga minyak pada 1 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Ogos lalu, mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 dan RON92, masing-masing sebanyak 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel sebanyak lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa keesokan harinya.

Menjawab soalan asal Henry Sum Agong (BN-Lawas), Jelaing berkata, sebanyak lapan syarikat dilantik oleh kerajaan Sarawak untuk menghantar bekalan bahan petroleum bagi kegunaan penduduk di kawasan pedalaman.

Jelaing berkata, perkhidmatan pembekalan dan pengangkutan disediakan oleh kontraktor yang dilantik dan subsidi caj pengangkutan akan disalurkan melalui pembekal.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengeluarkan surat kuasa khas kepada syarikat dilantik bagi memudahkan urusan pembekalan bahan petroleum, selain surat kuasa khas kepada beberapa penduduk di Bario untuk membeli diesel di Miri bagi meringankan lagi beban penduduk terbabit.

"Ini adalah satu langkah kawalan untuk pengedaran barang kawalan yang diwajibkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Mengulas cadangan pembinaan depot atau stesen minyak kecil untuk mengatasi masalah harga minyak yang melambung tinggi di kawasan tertentu di Sarawak dan Sabah, Jelaing berkata, kementerian sedang bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan sudah menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi mendapatkan maklum balas mengenai lokasi yang sesuai.

No comments

Powered by Blogger.