APABILA MENTERI MENGAKU KALAH PADA ANWAR

KUALA LUMPUR: Kegagalan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh kelmarin bukan bermakna pengundi di situ menolak terus parti berkenaan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata sebaliknya ia dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk kemungkinan sikap terlalu yakin jentera parti BN untuk menang.

Ketua Menteri Melaka itu tidak menolak kejayaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi itu kerana ketidakmampuan BN khususnya Umno, memenangi hati pengundi atas pagar bagi memberi sokongan kepada calon parti, Datuk Arif Shah Omar Shah.

"Selepas ini Umno dan BN akan membuat bedah siasat bagi mengenal pasti punca kegagalan kita menawan kerusi berkenaan. Kita perlu membuat kajian bagi mengenal pasti punca kekalahan ini... kita kalah bukan kerana orang tak sokong, tetapi mungkin ada faktor lain termasuk strategi Anwar sendiri," katanya di Melaka, semalam.

Pada pilihan raya kecil itu kelmarin, Anwar memperoleh 31,195 undi mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi, manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, memperoleh 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kemenangan PKR tidak akan menggugat kedudukan BN dan tiada sebab untuk parti komponen BN serta penyokongnya berasa kecewa dan bersedih.

Katanya, kemenangan Anwar sudah dijangka dan kemenangan itu tidak mengambil alih mana-mana kerusi milik BN.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berharap kepemimpinan BN akan menyedari perkembangan terbaru ekoran keputusan pilihan raya kecil itu dan melakukan sesuatu untuk meyakinkan semula rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, Umno kini berada dalam keadaan paling lemah sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu.

"Saya harap mesej dan isyarat yang disampaikan rakyat buat kali kedua ini, jangan diabaikan, perlu dihayati dan laksanakan per-ubahan yang dituntut oleh rakyat,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Noh Omar, berkata kekalahan BN kerana pengundi lebih mengagungkan Anwar berbanding kemajuan yang bakal dibawa BN jika memenanginya.

Katanya, kemenangan Anwar turut dibantu faktor pengundi di situ yang tidak dapat melupakan jasa Anwar di kawasan itu ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mendakwa kemenangan Anwar sebagai isyarat pengundi menolak politik perkauman. BH

ADA MATA LIHAT ADA TELINGA DENGAR ADA MULUT DIAM

No comments

Powered by Blogger.