Anwar keluar - kembali ke Parlimen dengan penuh kontroversi

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan Parlimen dalam keadaan kontroversi satu dekad yang lalu kembali dewan perwakilan dan perundangan yang sama dengan diselubungi kontroversi politik dan seks.

Kali terakhir beliau mengambil bahagian dalam sidang Dewan Rakyat, dari barisan kerajaan ialah beberapa minggu sebelum dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta sebagai Timbalan Presiden Umno dalam tempoh tiga hari pertama bulan September 1998.

Beliau dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas alasan tidak layak berada dalam kerajaan dan parti disebabkan beberapa isu menyentuh soal peribadi dan penjawat jawatan politik.

Kemudian Anwar dihadapkan di mahkamah berhubung tuduhan salah guna kuasa dan hubungan seks di luar tabii.

Ia sekali gus menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya umum berikut dan larangan lima tahun telah meletakkan beliau di luar aktiviti politik secara aktif.

Pada 1999 beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum, sebaliknya kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (dulu Keadilan).

Pagi ini - kira-kira pukul 10.30 pagi Anwar yang membawa moto Harapan Baru Untuk Malaysia juga kembali ke Parlimen dengan memikul isu-isu kontroversi.

Beliau sekali lagi berhadapan dengan kes meliwat - yang kedua selepas 10 tahun. Kes tersebut kali ini melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.

Kes tersebut akan disebut semula di mahkamah pada 10 September ini - enam hari sebelum sasaran beliau untuk membentuk kerajaan baru persekutuan - satu lagi kontroversi dengan ada yang mendakwa beliau mahu memasuki Putrajaya melalui jalan belakang.

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Anwar berhadapan dengan label sebagai pengkhianat bangsa Melayu dan ejen Amerika, Yahudi dan China (Cina).

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 itu pernah dilabel sebagai telah memutuskan untuk menjual Malaysia kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika kegawatan ekonomi 1997/98.

Di sebalik pelbagai kontroversi pengundi Permatang Pauh memilih beliau semula untuk mewakili mereka dan kembali ke Parlimen.

Semalam Dr. Mahathir sangsi yang Anwar akan menjadi Perdana Menteri keenam walaupun memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Beliau yakin Anwar tidak akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 30 anggota Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN) untuk berpaling tadah menyertai pembangkang untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.

Beliau dipercayai muncul sebagai wakil rakyat pertama mengangkat sumpat dalam waktu singkat - tidak kurang 48 jam setelah memenangi kerusi Parlimen.

Ada yang menganggap sesi upacara angkat sumpah ini pun sebagai satu kontroversi. Ini kerana mereka berpendapat bahawa beliau meletakkan tekanan untuk memasuki dan menduduki tempat Ketua Pembangkang dengan secepat yang mungkin.

Bagaimanapun pejabat Yang Dipetua Dewan Rakyat menafikan persekitaran sedemikian.

Laporan Bernama memetik Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau berharap Anwar, Penasihat PKR akan mengamalkan sikap kesopanan yang tinggi semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Pagi semalam Pandikar Amin mengesahkan telah menerima surat rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan telah berhubung dengan Anwar untuk menetapkan upacara mengangkat sumpah selepas doa memulakan persidangan pagi ini.

No comments

Powered by Blogger.