Tanggungjawab PAS untuk ganti Umno

SEWAJARNYA dalam tempoh 100 hari, lebih banyak boleh dicapai kerajaan Pakatan Rakyat dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat. Itu antara pandangan diutarakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Ikuti pandangannya yang juga Timbalan Pesuruhjaya Selangor mengenai pentadbiran Pakatan Rakyat, komitmen serta cabaran yang dihadapi PAS dalam sesi temu bual bersama Ketua Pengarang Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan wartawan NYZA AYOB pada 14 Jun lalu di Taman Lembah Maju, Pandan, Selangor.

HARAKAH: Idealisma semasa berjuang dalam parti pembangkang tentu ada bezanya dengan praktik semasa bersama kerajaan. Justeru, mungkin saudara boleh jelaskan cabaran besar yang dihadapi Pakatan Rakyat sepanjang 100 hari pemerintahan di Selangor terutama dalam usaha merealisasikan segala tawaran semasa berkempen dahulu?

ISKANDAR: Kemenangan Pakatan Rakyat membawa harapan rakyat yang cukup tinggi. Kita tidak tahu sama ada kemenangan itu disebabkan manifesto yang kita kemukakan atau kerana hasrat rakyat untuk berubah. PAS dan KeADILan membawa konsep negara berkebajikan. Saya melihat sepatutnya kita boleh buat lebih daripada itu. Mungkin oleh kerana idealisma sewaktu kita menjadi pembangkang dahulu, kita tidak tahu realiti apabila kita menjadi kerajaan.

Sekarang, dalam kerajaan, kita perlu menimbang dari segi kewangan. Bagaimanapun sepatutnya lebih banyak lagi yang kita boleh capai dalam tempoh 100 hari khusus kepada apa yang kita beri kepada rakyat.

ImageSaya melihat apa yang dijaja oleh BN dan yang dituntut rakyat adalah apa yang terkandung dalam manifesto. Apabila kita bercakap kita mahukan kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah, orang di kedai kopi itu tidak nampak apa yang dimaksudkan dengan menghapuskan rasuah.

Janji manifesto itu dapat dinilai secara kuantitatif. Tapi, insya-Allah, disebabkan MB Selangor adalah pakar dalam ekonomi. Ini bermakna segala keputusan bersandarrealiti ekonomi, kerana kita tidak mahu negeri bankrap. Tetapi ada perkara yang mana kita hendak memberi kebajikan kepada rakyat dan kita terpaksa mengambil langkah 'revolutionary'.

Janganlah kita hanya mencongak duit tetapi hendaklah berani berbelanja untuk kepentingan rakyat seperti dijanjikan. Kita telah laksanakan pemberian air percuma, juga pemberian duit RM100 untuk anak-anak yang dilahirkan di Selangor. Kita akan umumkan yang lain nanti.

Begitu juga pemberian RM1000 kepada anak-anak Selangor yang memasuki IPT. Sebagai orang yang sama-sama merangka manifesto itu, bagi PAS dan KeADILan, saya rasa sepatutnya lebih banyak lagi kita tunaikan kepada rakyat. Selain itu, usaha perbetulkan rasuah dan kepincangan sewaktu zaman Khir Toyo, perkara itu kita buat.

Rakyat memang tahu itu tak betul dan ini tak betul, tetapi mereka ingin tahu tindakan kita. Dalam sidang Dun baru-baru ini, walaupun terdapat ramai pembangkang, namun kerajaan boleh 'goyang kaki' kerana kita mendedahkan kepincangan lama.

Tetapi selepas ini 'honeymoon' tidak ada lagi. Rakyat nampak kepincangan kerajaan lepas. Selepas 100 hari mereka ingin melihat tindakan konkrit kita sebagai kerajaan. Rakyat boleh menilai selepas 100 hari. Sewaktu Abdullah (Ahmad Badawi) mengambil alih daripada Tun Dr Mahathir (Mohamad), beliau mengadakan perayaan 100 hari pemerintahannya.

Ada 'booklet' apa yang dilakukan dalam tempoh 100 hari. Tetapi rakyat bawahan mengatakan 'kenapa hendak bising, ini baru 100 hari'. Jadi saya pun bimbang perkara sama berlaku kepada kita. Bimbang jika dikatakan apa hendak dihebohkan sangat 100 hari pemerintahan?

Orang melihat Selangor negara paling maju dan kaya dengan pelbagai sumber dan khazanah. Mudah meningkatkan pendapatan negeri, malah ada yang berkata, jika rasuah dan salahuguna kuasa dibanteras, secara automatik negeri menjadi bertambah kaya dan makmur. Dengan itu, rakyat boleh bersama-sama berkongsi kekayaan negeri.

Antara lain yang dibawa Menteri Besar ialah menambah pendapatan rakyat, meningkatkan ekonomi rakyat. Itu yang disasarkan oleh kerajaan sekarang. Dalam banyak kes, kita melihat Singapura. Kita tidak mahu bandingkan pencapaian kita dengan negeri-negeri lain.

Matlamat kita, dari segi pendapatan, kita mahu menjadi seperti Singapura. Pendapatan kita setahun, belanjawan adalah RM1.3 bilion berbanding Kelantan RM400 juta setahun. Saya berharap, kita dapat berkongsi dengan rakyat. Tetapi unsur pendidikan juga penting. Daripada segi �spiritual� juga penting. Selain itu �enforcement� daripada dalam diri kita juga penting.

Boleh saudara jelaskan lebih lanjut tentang usaha menghapuskan rasuah itu? Ramai bercakap ia tidak semudah untuk dilafazkan kerana kini peluang terbuka luas, termasuk untuk mengamalkan rasuah 'yang dibenarkan oleh undang-undang'?

Apabila kita menjadi pembangkang, kita mempunyai banyak idea sama ada untuk melawan daripada segi rasuah. Tetapi apabila kita berada 'in position of power', memang ada terbuka kepada peluang untuk mencari kekayaan. Tetapi saya mempunyai keyakinan, iaitu sesuatu perkara itu harus dilakukan secara telus. Jika dilakukan secara telus, rasuah sukar berlaku.

Dari segi tender, siapa yang punya tender tersebut. Daripada segi pemberian tanah, sekarang ini memang dibekukan. Tetapi daripada segi tanah daripada kompeni, pihak kerajaan sebelum melakukan sesuatu, kita ingin tahu secara detail siapa. Contohnya baru-baru ini terdapat kes untuk kita memberi kelulusan, pemaju mahu minta pelepasan sebagai satu syarat. Jadi MB mahu tahu siapa yang terlibat.

Saya melihat idealisma yang kita bawa itu yang akan mengawal kita. Saya memberi keyakinan sama ada ahli PAS boleh mengawal diri daripada berlaku seperti pentadbiran dahulu. Selain itu, kita berada di bawah 'mikroskop', orang akan memerhatikan kita.

Kita mempunyai pembangkang di negeri dan mempunyai kerajaan Pusat. Dan saya rasa susah bagi kita untuk terlibat dengan rasuah. Segala perkara yang kita buat itu diperhatikan. Seperti kes yang berlaku di pejabat MB baru-baru ini. Sebenarnya apa yang berlalu itu kecil sahaja, tetapi dibesarkan oleh media. Tetapi jika perkara sekecil itu diperbesarkan, sudah tentu perkara besar kita tidak mampu melakukan apa-apa.

Dari segi pegawai kerajaan, saya dapati apabila bercakap dengan staf kerajaan negeri di bawah portfolio saya, mereka katakan dulu susah nak jumpa dengan Exco. Begitu juga wartawan-wartawan. Kalau ada pun pada mesyuarat Exco.

Jadi, saya dengan kakitangan jua melakukan perjumpaan dan berterus terang apa yang kita hendak bawa. Kita mempunyai hubungan yang baik dengan mereka. Kita mahu mereka membawa apa yang kita perjuangkan.

Walaupun PAS bukan peneraju utama di Selangor, tetapi ia salah satu komponen yang penting. Dasar-dasar kerajaan harus mengambil kira perjuangan PAS juga rasanya. Selama ini nampak PAS prihatin, antara lain, terhadap isu-isu gejala sosial, akhlak, penghayatan agama, menentang hiburan melampau dan sebagainya. Apakah perkara berkenaan dapat diterapkan dalam kerajaan?

Alhamdulillah Jawatankuasa Pendidikan di bawah PAS iaitu di bawah Dr Halimah Ali. Kita banyak melakukan program pembinaan insan dan turun mendekati rakyat.

Saya rasa kita daripada PAS bernasib baik kerana memegang portfolio agama dan pendidikan. Jadi, Exco Pendidikan mendapat belanjawan untuk melakukan program pendidikan kepada rakyat daripada bawah. Program seperti Jejak Ilmuan juga mendidik daripada peringkat bawah. 'Enforcement' dilakukan oleh PBT.

Tetapi kadang-kadang masalah 'enforcement' kepincangannya sudah berkarat dan untuk merungkai memerlukan masa yang lama. Seperti isu pasir yang dibawa oleh anggota Exco Yaakob Sapari, negeri hanya dapat kira-kira RM20 juta tetapi sebenarnya �revenue� melebihi RM200 juta.

Masalahnya apabila YB Yaakub ingin buat 'rate', polis 'surrender' tidak dapat berbuat apa lagi. Sebab perkara ini 'dah kena bayar' daripada peringkat JKKK hingga ke atas. Jadi kita melihat perkara ini bukan mudah dan kerja ini berat.

Tetapi sekarang ada tindakan, begitu juga dengan kes lain. Apa yang penting ialah pendidikan. PAS pegang portfolio yang boleh mengubah masyarakat daripada segi agama, adat istiadat Melayu dan pendidikan.

Mungkin akan timbul polemik sesama pemimpin Pakatan apabila hal-hal berkaitan amalan sosial dan agama, yang dilihat pihak tertentu, sebagai kehidupan peribadi, dibangkitkan?

Ia memerlukan masa. Kita sebenarnya belajar untuk duduk bersama walaupun baru 100 hari. Kita dengan DAP bersama dalam isu-isu sejagat. Dan dengan KeADILan kita mungkin lain senarionya. Kita mungkin ada �time frame�. Dan sedikit demi sedikit kita perlu didik mereka supaya memahami masalah umat Islam, apa yang kita hendak.

Kita tidak mempunyai masalah dengan mereka mengenai isu yang melibatkan umat Islam seperti surau dan masjid. Tetapi untuk menjawab soalan yang dikemukakan, kita memerlukan masa. Kita tahu di peringkat Exco pun mempunyai macam-macam 'pembawakan'.

Dalam satu parti itu juga mempunyai bermacam 'pembawakan'. Ada yang daripada Suaram, daripada ABIM, daripada JIM. Dalam 'intra' dan 'inter' parti perlu ada penyelarasan. Tetapi ia memakan masa.

Bagaimana dengan hal-hal seperti keruntukan akhlak, apakah keprihatinan itu juga dikongsi oleh semua parti komponen Pakatan?

Saya melihat ia tidak ada masalah. Kita mengakui keruntuhan moral yang berlaku di Selangor bukan sahaja melibatkan orang Melayu tetapi juga bukan Islam.

Tetapi jika kita mahu undang-undang yang mengawal, ada antara mereka yang mahu kebebasan. Ada antara mereka yang mahu kebebasan secara total. Tetapi 'argument' kita, perkara tersebut untuk sejagat. Dan saya yakin mereka boleh terima.

BN walaupun kalah di Selangor, tetapi Adun Umno masih ramai. Dan Umno, untuk mendapat sokongan kembali, nampaknya memainkan isu-isu Melayu, misalnya menimbulkan isu babi dan rumah ibadat.

Dalam masa sama, PAS berperanan penting untuk mengalihkan sokongan pengundi Melayu daripada Umno kepada Pakatan dalam pilihan raya akan datang. Bagaimana saudara melihat cabaran ini?

Ia satu cabaran hebat untuk mempertahankan Pakatan Rakyat. Saya melihat kerusi bagi yang bukan Islam, iaitu kerusi campuran ini boleh bertukar tangan bila-bila masa. Yang menjadi 'interest' ialah untuk PAS menang kerusi Umno.

Ada banyak perkara yang kita hendak cadangkan agar dapat menumpukan gerak kerja kepada kerusi-kerusi yang dimenangi Umno itu.

Saya yakin rakan-rakan lain daripada Pakatan Rakyat tidak akan membangkang. Sebab ia untuk memperkukuh Pakatan Rakyat. Mengenai isu rumah ibadat, sebenarnya tidak ada isu di situ. Ia hanya cadangan yang dibawa Exco. Begitu juga dengan isu babi.

Umno pastinya akan melakukan apa saja untuk memainkan sentimen Melayu. Tetapi kita melihat orang Melayu akan setia kepada kerajaan yang memerintah, dalam konteks negeri, Pakatan.

Saya yakin orang Melayu akan setia pada kerajaan. Ini bermakna kita mesti berperanan sebagai kerajaan. Saya rasa dengan sumber yang kita ada sebagai kerajaan negeri, mungkin kita boleh bekerja lebih untuk menarik undi-undi terutama di kawasan 18 kerusi yang dimenangi Umno dan enam daripadanya marginal, bawah pada 1000 undi. Ada sekadar 45 undi seperti Seri Serdang.

Yang penting kerajaan mesti 'perform' sebab selama ini Umno kata pembangkang tidak boleh buat apa-apa dan tidak boleh memerintah. Tetapi jika kerajaan Selangor dapat memerintah dengan baik, maka orang Melayu akan 'turn over' kepada Pakatan Rakyat. Saya berharap orang Melayu yang setia dengan kerajaan dahulu, akan setia pada kerajaan hari ini.

Soalnya, walaupun BN tewas di peringkat negeri, mereka masih banyak sumber di peringkat pusat. Umno masih boleh menjaga orang mereka di peringkat bawah seperti ketua kampung dengan jawatan baru yang dibiayai kerajaan pusat. Adakah perkara ini boleh mengganggu pentadbiran Pakatan Rakyat?

Memang ia dapat mengganggu. Ia memang tidak mudah. Ini bermakna jika kita boleh rancang dengan baik, kita boleh tandingi apa yang dilakukan Umno atau BN. Saya difahamkan ada bantuan-bantuan kemasyarakatan dari Kerajaan Pusat, mungkin ia akan ditarik balik. Tetapi aspek �spiritual� amat penting. Kita perlu memberi kesedaran agama kepada rakyat bagi mematangkan politik mereka.

Tetapi ada beberapa kritikan bahawa mimbar dan masjid dipolitikkan oleh ustaz-ustaz kita pula.

Kita mesti bijak. Terdapat kes pihak Istana panggil kerana tidak membaca doa untuk Duli Yang Mulia Tuanku. Sebagaimana yang saya faham, setiap dua kali seminggu penceramah di masjid-masjid akan didatangkan pihak IPTA menurut perancangan Exco Agama.

Juga saya tahu ada di dalam khutbah hingga menyebut nama SPR. Tetapi kita akan cuba supaya perkara ini tidak berlaku lagi. Mungkin ia di peringkat awal. Jadi perkara ini mesti dikawal.

Saya tertarik dengan beberapa pandangan dalam blog saudara bagi memperlihatkan imej PAS yang lebih ke hadapan dan mampu menangani cabaran semasa. Harap saudara dapat lanjutkan lagi perbahasan menarik itu.

Saya bukan ulama. Tetapi kita mahu PAS yang boleh diterima oleh semua peringkat. Itu yang lebih penting. Sebab saya melihat lapan orang wakil rakyat PAS yang menang adalah mereka yang melakukan 'engagement' dengan bangsa lain.

Saya rasa orang India dan Cina 'fed up' dengan Umno sebab Umno membawa politik perkauman yang tebal. Pada mereka MCA merupakan 'budak suruhan' kepada Umno. Saya rasa 'approach' PAS ialah kita mesti diterima oleh semua parti. Itu yang penting.

Saya tidak mengatakan kita perlu mengadakan 'a new PAS with a new label' tetapi kita perlu menghadapi realiti, apabila kita memerintah kita mesti menerima seluruh rakyat.

Saya melihat ramai orang PAS, 'engagement' dengan orang bukan Islam semata-mata untuk mendapat undi. Tetapi daripada segi 'engagement' seharian tiada. Seperti 'engagement' dengan jiran dengan jiran atau beramah mesra di kedai kopi, itu tidak ada.

Saya pernah tanya kepada AJK PAS kawasan saya, berapa orang yang ada sahabat baik di kalangan bukan Islam. Jawapannya tidak ada. Ini bermakna kita kadang-kadang nampak terlalu eksklusif di antara kita. Justeru, kita perlu turun bersama bangsa lain sebagai PAS yang memimpin Malaysia. Itu yang penting. Itu yang saya lihat.

Sebab saya mengenal Islam di UK bukan di sini. Saya mengenal Islam bukan sebagai entiti Melayu. Kadang-kadang apa yang kita perjuangkan bukan atas dasar Islam yang universal tetapi tradisi kemelayuan.

Mungkin ada yang masih kaitkan Islam dengan peristiwa 11 September. Tapi kita mesti menerima hakikat kita hidup di kalangan masyarakat bukan Islam.

Seperti dalam isu rumah ibadat, sebenarnya apakah menurut pandangan Islam mengenai rumah ibadat orang bukan Islam? Jika di Selangor kita ada had keluasan rumah ibadat. Umno buat undang-undang tersebut, tetapi dalam masa yang lain, Umno membiarkan orang Islam murtad, juga dengan judi serta maksiat.

Apa yang sebenarnya berlaku? Adakah mengehadkan rumah ibadat itu sebahagian daripada ajaran Islam? Ada orang menghantar SMS kepada saya mahu kuil-kuil dirobohkan kerana hujahnya, Nabi Ibrahim a.s. juga memusnahkan berhala.

Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang dikehendaki Islam, kita merosakkan ajaran Islam itu sendiri daripada kaca mata bukan Islam. Banyak perkara yang kita fikir Islam ajar.

Tetapi apa yang kita perjuangkan itu bukan ajaran Islam tetapi cita rasa. Kadang-kadang perkara ini yang menjauhkan orang Islam daripada PAS

No comments

Powered by Blogger.