Anwar berlindung di Kedutaan Turki

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Naib Presiden Azmin Ali mendedahkan Anwar berbuat demikian demi keselamatan dirinya.

"Beliau telah dihantar ke sana sejak jam 6 pagi tadi. Tidak siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya," kata Azmin.

Katanya, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.

Dalam sidang akhba sebelumnya, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, usaha terbaru untuk membabitkan Anwar dalam tuduhan liwat ekoran laporan polis oleh bekas sukarelawan parti itu, menunjukkan usaha lebih serius oleh pihak-pihak tertentu untuk menutup mulutnya.

Katanya, Anwar telah menjadi sasaran bukan sahaja pembunuhan politik tetapi juga menerima ancaman terhadap nyawanya.

"Kami (dalam PKR), dan saya sendiri, telah menerima maklumat bahawa ini adalah satu percubaan bukan sahaja untuk membunuh karier politiknya, tetapi jika boleh, membunuh beliau," kata Syed Hamid dalam satu sidang akhbar di Hotel Quality di Shah Alam.

Katanya, pihak parti telah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan Anwar.

Menurut beliau, percubaan tersebut juga mungkin disebabkan oleh kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan seperti yang war-war Anwar sejak kebelakangan ini.

Semalam, pembantu khas Anwar - Saiful Bukhari Azlan, telah membuat laporan polis, mendakwa ketua umum PKR itu telah meliwatnya.

Anwar bagaimanapun menafikannya dan berkata ia adalah satu rekaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk "menyerangnya" sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salahlaku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.

No comments

Powered by Blogger.