Mufti Perlis cubit PAS cubit Umno, tetapi tercubitkah?

Mufti Perlis cubit PAS cubit Umno, tetapi tercubitkah?

Ramai yang mengatakan PRU ke 12 merupakan suatu "Tsunami Politik", Presiden PAS TG Hj Abd Hadi mengatakan ia bagaikan "gunung berapi politik" suatu pengajaran dan iktibar buat Umno dan BN, apa pun rupanya bukan hanya orang politik dan orang awam sahaja terkena arus tsunami atau ledakkan lahar gunung berapi itu, rupa-rupanya Tok Mufti pun tak terkecuali.
Kerana itu saya lebih bersetuju dengan TG kerana kalau ia tsunami semuanya musnah dan mati belaka, tetapi jika ia gunung berapi, ia memuntahkan lahar yang boleh menyuburkan kembali bumi, memberi kesedaran dan nafas baru kepada ramai termasuklah barangkali tok-tok Mufti.

Hari ini Mufti Perlis memuatkan teguran, kritkkan yang penuh sinis dan kadangkala bagaikan senafas macam orang politik dalam ruangan mingguannya di Mingguan Malaysia. Saya agak beliau memang sesuai jika mahu terjun ke gelanggang politik, pilihlah antara banyak bahtera yang tersadai atau meluncur dipersada politik negara hari ini.

Saya tertarik apabila beliau menghurai dan membicarakan bahawa Islam itu adalah matlamat dan bukannya alat. Apa yang saya boleh faham berdasarkan penanya itu, jika kita berjuang untuk memartabatkan Islam maka jangan sekali-kali Islam itu diperalatkan. Jika begitu nanti agama hanya kelihatan sebagai bahan main-mainan untuk mendapatkan untung dan tenpat.

Bermaksud jangan matlamat menghalalkan cara. jangan berpilih-pilih membawa Islam versi satu kepada penonton satu dan versi dua kepada penonton dua. Lalu apabila takut penonton dua meninggalkan kita, maka kita masukkan pula versi tiga, kerana yang penting kuasa terus kekal ditangan kita. Itu anologi saya terhadap artikel beliau yang panjang lebar itu, memang tajam dan kekadang sinis tetapi jika ada asas kebenarannya maka perlu ditelan walaupun pahit.

Saya yakin beliau turut mencubit Umno apabila beliau menyebut kadangkala agama diguna sekadar untuk penghias majlis, bukannya memegang prinsipnya. Majlis rasmi dimulakan dengan doa tetapi perjalanan majlisnya tidak berteraskan prinsip Islam, dalam erti kata lain menjadi majlis maksiat.

Beliau juga menyebut ada pemimpin negara bagaikan "sumpah-sumpah" yang berubah warna mengikut majlis. Kata beliau ada yang mengajak rakyat jangan membazir tapi dalam majlis yang lain pemimpin tadi mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap tentang rasuah dan amanah tetapi dalam majlis lain merekalah yang menganugerahkan projek-projek kepada "anak pinak" dan "rakan taulan" dengan cara yang dipertikaikan.

Bagus, dalam dan bermakna sekali teguran-teguran beliau termasuklah berkenaan Hang Berani yang katanya sekadar berani menghunuskan keris tetapi kemudiannya menjadi Hang Takut.

Tetapi dalam waktu yang sama semua mufti-mufti juga diharapkan jangan pula diperalatkan oleh jawatan mereka. Mufti-mufti mesti "above politics" jangan terlibat sekali-kali dalam politik, apalagi berkempen untuk parti itu dan ini atau calon itu dan ini atau melobi. Kalau berjaya begitu barulah mufti-mufti dapat membuktikan kepada semua bahawa Islam itu matlamat mereka dan bukannya alat. Barulah yang menegur tidak melakukan kesalahan yang sama yang dilakukan oleh puak yang ditegur.

Berlapang dadalah semua untuk menerima yang baik dan membuang yang keruh.

Apabila kaduk naik junjung

Saya sudah mengulas berkenaan beliau dalam posting saya terdahulu, jika mahu kenal inilah dia Pengarang akhbar The Star yang kebelakangan ini semakin tajam dan vokal kritikkannya terhadap Islam. Mungkin "tsunami Politik PRU ke 12" telah turut mematikan semua yang prihatin tentang Islam dan menjelmakan puaka-puaka yang berani dan bermaharajalela.

Wong Chun Wai begitu ghairah apabila dapat menghitam legamkan wajah Islam tambah dalam keadaan pemuka-pemuka Islam kebelakangan ini yang sudah semakin khayal dan selesa. Cuba perhatikan posting di dalam blognya bertarikh 22 Mei lalu, apabila beliau melanyak PKPIM kerana cadangan adik-adik kita itu untuk mengubah gaya pakian baju kurung murid sekolah menengah:

It's stupid really. But thanks to the National Islamic Students Association of Malaysia, an unheard of group, we have made it to the international media for the wrong reason.....

Perhatikan beliau gunakan perkataan "an unheard of group" atau sebuah badan yang tidak dikenali untuk mengaitkan PKPIM. Tetapi hari ini dalam ruangannya dalam THE SUNDAY STAR beliau menyebut:

The student body is hardly known today but in the 1990's it was a prominent movement with protest against so-called western hedonism and nihilism

Badan ini tidak berapa dikenali hari ini tetapi pada tahuan 1990an ia terkenal kerana menggerakkan protes terhadap apa yang dipanggil pengaruh hedonisma barat dan nihilisma (kepercayaan menafikan sebarang asas kebenaran yang objektif)

Dengan kepakaran putar-belitnya Wong telah menolak-tarik PKPIM dari sebuah badan yang "an unheard of group" kepada sebuah badan yang pernah terkenal satu ketika dahulu!
Apa pun dalam tulisannya hari ini Wong mengambil kesempatan mempersetankan terus cadangan PKPIM itu dan menganggapnya sebagai satu trend ke arah menceduk budaya Arab atas nama agama. Sejak bila pula PKPIM mencadangkan agar pakaian baju kurung yang ada ditukarkan kepada pakaian wanita Arab? Cuba baca kenyataan mereka di bawah ini:

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah. PKPIM mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menukar baju putih sekolah kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan. Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

Wong samada tidak mampu menguasai Bahasa Melayu dengan baik sehingga tersasar dari memahami pendirian dan kenyataan PKPIM itu ataupun memang beliau jenis anasir yang tidak senang dengan badan-badan dan aktivis Islam sehingga memandang hodoh apa sahaja cadangan yang datang dari mereka. Saya optimis Wong yang saya ikuti penulisan beliau sejak lebih 10 tahun lalu, ini memang jenis yang "phobic" dan membenci Islam melainkan Islam yang telah ditiup dan ditempel-tempelkan dengan nafas dan wajah liberal. Lihatlah apa yang disebut beliau dalam penutup artikelnya itu:

Common sense must prevail, just like the views of the majority. Don let anyone tell us how and what to dress.


roslan sms

No comments

Powered by Blogger.