Dr M: PM halang Najib jumpa saya


Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pendedahan yang mengejutkan bahawa penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menghalang perjumpaannya dengan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir membuat pendedahan itu dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini di mana beliau menegaskan bahawa demokrasi telah mati dalam Umno kerana ahli-ahli yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan, sering 'ditutup mulut' mereka.

"Beliau (Najib) berkata beliau perlu mendapatkan kebenaran perdana menteri terlebih dahulu. Nampaknya beliau tidak mendapat kebenaran tersebut. Jadi, hingga sekarang, beliau tidak bertemu dengan saya.

"Adalah sesuatu yang teruk jika perdana menteri tidak percayakan timbalannya. Pada masa saya (menjadi perdana menteri), saya percayakan timbalan saya sehinggalah dia melakukan sesuatu yang pelik. Jika tidak, saya percayakan timbalan saya," kata mantan perdana menteri itu.

Mahathir berkata, beliau telah cuba untuk mengadakan perjumpaan dengan Najib "sejurus selepas pilihanraya umum" untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan hal ehwal semasa.

"Saya memandang berat terhadap apa yang berlaku dalam Umno. Mungkin itu telah meracun pemikiran (Abdullah). Saya tak tahu. Saya perlu katakan ini kerana saya menyimpannya kerana saya fikir tidak betul untuk mendedahkannya kepada umum.

"Tetapi keadaan menjadi semakin serius sekarang. Rakyat tidak dibenarkan bercakap. Saya difahamkan bila Tengku Razaleigh (Hamzah) pergi ke peringkat cawangan, ahli Umno diberitahu jangan hadir (majlisnya).

"Parti apakah ini? Anda tidak dibenar mendengar dari satu sumber. Saya fikir ia kerana kekalahan dalam pilihanraya lalu. Rakyat tidak dibenar bercakap dan pucuk pimpinan tidak tahu apa yang difikirkan oleh rakyat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.