PPIM minta kerajaan wujudkan akta untuk menjaga kesucian ayat Quran

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menggesa kerajaan supaya mewujudkan akta bagi mengawal penjualan ayat-ayat suci al-Quran kerana lambakan penjualan ayat-ayat suci al-Quran di pasaran kini dikhuatiri akan menjurus kepada penyalahgunaannya oleh sesetengah pihak bagi tujuan komersial.

Pengarah Projek PPIM Noor Nirwandy Mat Noordin berkata ketiadaan akta bagi mengawal penjualan itu pada masa ini turut menyebabkan ayat-ayat suci al-Quran bebas dijual oleh orang bukan Islam yang mungkin menyebabkan berlakunya unsur aniaya kepada pengguna Islam.

"Perhatian serius terhadap isu ini harus diberikan kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

"Bagi kami (PPIM) tidak boleh berbuat apa-apa kerana ketiadaan akta untuk membendung perkara ini dan hanya boleh memantau dan menasihatkan pengguna. Kami memohon pada kerajaan agar diwujudkan satu akta bagi mengawal penjualan ayat suci ini oleh orang bukan Islam.

"Banyak aduan yang kami terima bukan sahaja berkenaan penjualan ayat suci al-Quran, tetapi juga penjualan bulu berus lukisan yang diperbuat daripada bulu babi. Hampir 70 peratus daripadanya adalah bulu babi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebagai contoh, penggunaan ayat al-Quran oleh pengusaha restoran bukan Islam bagi tujuan komersial perlu dipantau kerana ia akan menyebabkan masyarakat Islam ditipu kerana beranggapan restoran itu dimiliki pengusaha Islam, kata beliau.

Selain itu, katanya, sensitiviti masyarakat Islam juga perlu dipelihara bagi mengelakkan kemarahan mereka selain menjaga hubungan harmoni di antara kaum di negara ini.

"Kita tidak mahu perkara yang mungkin dianggap kecil ini terlepas pandang dan jika kerajaan tidak boleh membuat satu akta berkenaan ini, buatlah satu peraturan agar kebajikan pengguna Islam dipelihara dan pengguna tidak mudah ditipu.

"Apa yang penting sikap hormat-menghormati perlu dipertingkatkan di antara pengguna dan peniaga dan bagi peniaga, mereka perlu lebih peka kepada sensitiviti masyarakat Islam, selain perlu mengadakan label atau memberitahu pengguna akan sesetengah barang yang tidak boleh dibeli oleh pengguna Islam. Dengan itu hubungan harmoni akan lebih terjamin," katanya.

Noor Nirwandy berkata pihaknya akan terus mengadakan pemantauan supaya masyarakat Islam di negara ini tidak akan terus menjadi mangsa penipuan sesetengah pihak yang bertujuan meraih keuntungan. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.