PM silap tak jawab kritikan Dr M


Penasihat Gerakan, Dr Lim Keng Yaik berpendapat bahawa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi silap apabila beliau tidak menjawab kritikan pedas Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbirannya, yang telah menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya 8 Mac lalu.

"(Kritikan) Dr Mahathir telah menjejaskan mereka (Umno dan BN). Beliau mungkin seorang rakyat biasa tetapi beliau telah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Jika kepimpinan Pak Lah dan Umno merasakan Dr Mahathir salah dan apa yang dikatakannya tidak betul, mereka mempunyai hak untuk menyingkirkan beliau dan tidak perlu bimbang (berbuat demikian).

“Beritahu rakyat bahawa beliau salah. Jika beliau masih terus bercakap mengenainya dan anda tidak jawab, maka apa juga yang dicakapkan oleh beliau (Dr Mahathir) mestilah benar," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabat barunya di Bandar Utama Isnin lalu.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, BN memenangi 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. BN juga tumbang di empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Ada pihak yang beranggapan bahawa kenyataan Dr Mahathir bahawa Malaysia memerlukan pembangkang yang kuat turut mempengaruhi arus pengundian dalam pilihanraya umum lalu.

'Angin perubahan'

Ahli politik yang lantang bersuara itu yang melepaskan jawatan presiden Gerakan tahun lalu - selepas menyandang jawatan itu selama 26 tahun - turut menegurkan tindakan Dr Mahathir itu.

“Kritikan (beliau) mungkin betul tetapi sikap dan cara kritikan itu dibuat, tidak membantu BN atau Umno.

“Jika Dr Mahathir sayang Umno dan BN, beliau tidak seharus bertindak sepertimana yang telah beliau lakukan," katanya.

Lim juga ditanya mengenai pilihanraya umum lalu yang disifatkannya sebagai satu 'angin perubahan baru yang bertiup' dalam landskap politik baru tanahair.

“Saya tidak menganggapnya sebagai satu tsunami. Tsunami membawa maksud negatif, dan kemusnahan.

"Saya menyifatkannya sebagai angin perubahan baru yang bertiup dalam arena politik Malaysia," katanya.

Katanya, ini kerana politik pelbagai kaum yang disokong oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu, juga merupakan ideologi parti Gerakan sendiri.


dr lim, wa nak bgtau sama lu...itu pak lah dah talak boleh buat keja dah...suma olang dah tak suka sama dia...lu pun kena hati-hati la...

No comments

Powered by Blogger.