Pengarah JAIP diarah bertukar oleh Menteri Besar

SITIAWAN: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury hari ini diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan telah diminta keluar dari pejabatnya oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi.

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri yang mengesahkan perkara itu berkata Jamry telah dihubungi menerusi telefon oleh Mohammad Nizar untuk berbuat demikian tanpa diberi peluang menjelaskan apaapa bagi membela dirinya.

Tidak pula diberitahu ke pejabat mana Jamry ditukarkan.

Sementara itu, Jamry ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut dan memaklumkan bahawa beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah petang ini di Istana Kinta di Ipoh.

"Setakat ini saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu. Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya selepas mengadap Sultan petang ini," katanya.

Di Ipoh, Mohammad Nizar berkata pertukaran tersebut satu proses pentadbiran biasa yang berlaku dari semasa ke semasa melibatkan penjawat awam.

"Itu proses pentadbiran biasa. Kita ada (beberapa hari lebih awal) Timbalan SUK (Setiausaha Kerajaan) ditukarkan...naik pangkat pergi ke ibu pejabat, ini biasa. Anda patut kemukakan soalan ini apabila Menteri Besar yang dulu tu bila dia masuk-masuk sahaja, dia malah menukarkan SUK...saya tidak," katanya pada sidang media selepas satu majlis di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) petang tadi.

Beliau menegaskan tidak ada sebab-sebab tertentu mengapa pertukaran tersebut dilakukan dan ia semata-mata merupakan proses perpindahan biasa kakitangan.

Ketika ditanya sama ada pertukaran itu disebabkan Jamry tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Perak, Mohammad Nizar berkata, "Saya tak tahu, anda tanya dia (Jamry).

Mohammad Nizar hanya menyatakan,"itu normal" bila ditanya mengapa Jamry diberi notis pertukaran 24 jam dan tidak masa yang lebih panjang seperti lazimnya.

Menurut Mohammad Nizar, Jamry yang sebelum ini dipinjamkan ke JAIP akan kembali bertugas di pejabat SUK di Ipoh.

"Beliau telah ditukarkan semula ke ibu pejabat SUK...Tidak ada kesan negatif. Anda (media) sepatutnya tidak menimbulkan persoalan itu kerana kakitangan keluar dan masuk," katanya mengulas soalan pihak media yang meminta beliau menjelaskan pertukaran tersebut.

Ditanya mengapa tiada pengumuman dibuat mengenai pertukaran itu, Menteri Besar Perak Ke10 itu berkata tidak wujud keperluan bagi pihak kerajaan negeri mengumumkan pertukaran para penjawat awam. BERNAMA

kerabu: sedar la...kadang-kadang bila di atas kita tak sedar apa yang kita lakukan kat orang bawah...apabila kita kena turun bawah anggap la itu perkara normal...sabr-sabar dugaan awk 2........lain kali jangan zalim

No comments

Powered by Blogger.