PAS itu Islam


Kalau memang benar Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin berkata begitu, saya tidak ada bantahan. Itu hak demokratik beliau. Soal sama ada saya setuju atau tidak, itu soal lain. Saya juga mempunyai hak demokratik untuk bersetuju atau tidak bersetuju.

Sambil menghormati hak demokratik Muhyiddin untuk berkata begitu, saya juga mahu menggunakan hak demokratik saya untuk menyatakan bahawa di negara ini, PAS itu Islam. Tak kisahlah kalau sesiapa pun menggelejat marah dengan kenyataan itu. Gunakanlah hak demokratik anda untuk marah dan menggelejat.

Saya menggunakan hak demokratik saya untuk menyatakan bahawa sama seperti masjid, surau dan sekolah agama, PAS adalah syi'ar Islam. Syi'ar Islam adalah sebahagian dari Islam. Oleh itu, PAS itu Islam.

PAS memperjuangkan perlaksanaan apa sahaja yang diwajibkan oleh Islam. Tak kiralah sama ada wajib buat, wajib tinggal atau wajib lawan. Kewajipan-kewajipan tersebut adalah sebahagian dari Islam, malah penentu sama ada Islam atau kafir (seperti pengajaran hadis yang menyatakan perbezaan antara Islam dan kafir ialah sembahyang). Oleh itu, PAS itu Islam.

Itu tidak bermakna saya tidak berbangga dengan bangsa saya. Allah s.w.t. menetapkan saya menjadi salah seorang dari bangsa Melayu. Gilalah kalau saya tidak berbangga dengan ketetapan Allah terhadap diri saya.

Sehubungan itu, saya juga menggunakan hak demokratik saya untuk menyatakan bahawa sama seperti badan-badan dan institusi Melayu lain yang bersifat tradisional atau berakar umbi, PAS juga adalah syi'ar orang-orang Melayu. Lebih 90 peratus ahli PAS berbangsa Melayu walaupun ia tidak menghadkan penyertaan bangsa lain.

Tetapi, walaupun PAS adalah pakatan, wadah politik serta syi'ar orang-orang Melayu, saya lebih selesa menyatakan PAS itu Islam. Lebih universal dan ukhrawi.

Memang la, mengundi atau menyokong PAS belum tentu masuk syurga kalau perangai macam setan. Imam 'Ali 'a.s. pernah menyatakan, nak kenal peribadi seseorang itu bukan dengan melihat sembahyang puasanya, tetapi lihat kepada mu'amalatnya. Kalau sembahyang puasa pun tak boleh dijadikan ukuran, apa lagi mengundi atau menyokong PAS.

Tetapi jangan lupa, apa guna mu'amalat yang bagus tanpa sembahyang, puasa dan kewajipan lain? Sebab itulah, walaupun undi dan sokong PAS tidak menjamin syurga, menentang perjuangan Islam tidakkah menempah tiket ke neraka?

Melayu tidak akan ke mana-mana malah tidak berharga tanpa Islam

No comments

Powered by Blogger.