Hindraf desak Siva letak jawatan


Kira-kira 30 penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) berhimpun di Istana Negara pagi ini untuk menyerahkan memorandum memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Memorandum itu diserahkan kepada seorang pegawai Istana Negeri oleh Vwaishhnnavi, 5 - anak kepada pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.

Memorandun tersebut memohon bantuan Seri Paduka untuk membebaskan P Uthayakumar, M Manoharan, V Ganabatirau, R Kenghadharan dan T Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu kerana menganjurkan perhimpunan pada 25 November lalu serta membuat kenyataan yang didakwa berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Seorang daripada mereka, Manoharan bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu atas tiket DAP dan menang kerusi negeri Kota Alam Shah.

Beliau memperolehi 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Mereka ditahan di kem Kamunting untuk tempoh dua tahun kerana didakwa mengancam keselamatan negera.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Seri Paduka ekoran satu laporan media yang menyebut baginda bersetuju dengan perakuan Lembaga Penasihat supaya mereka ditahan hingga tamat tempoh dua tahun.

Sementara itu, pemimpin Hindraf yang menghadiri perhimpunan pagi ini juga menyelar Suhakam kerana menafikan dakwaan mereka bahawa Uthayakumar tidak diberikan rawatan perubatan yang sempurna di Kamunting.

Rabu lalu, pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam telah melawat pusat tahanan tersebut dan berkata Uthayakumar diberi rawatan yang sempurna oleh pihak berkuasa di situ.

Beliau bagaimanapun tidak bertemu dengan Uthayakmar atau tahanan yang lain ketika melawat pusat tersebut.

Mereka menyelar Sivasubramaniam ekoran kenyataannya itu dan mendesak beliau meletakkan jawatan.

Menurut mereka lagi, keadaan kesihatan Uthayakumar semakin teruk dan beliau tidak diberi penjagaan dan rawatan yang sempurna.

No comments

Powered by Blogger.