Azizah: Saya sedia jadi PM

Dr Wan Azizah Ismail berkata beliau bersedia menjadi perdana menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya mendapat majoriti dua pertiga susulan peralihan sokongan wakil-wakil Barisan Nasional.

"Saya bersedia, insya Allah. Ini kejutan baru kepada saya.

"Saya menyertai gelanggang politik (pun) secara mengejut, saya menjadi ketua pembangkang (pun) secara mengejut," kata presiden PKR kepada wartawan di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi perdana menteri apabila Pakatan berjaya mempengaruhi lebih 30 wakil BN untuk beralih kepada gabungan pembangkang.

Dr Wan Azizah, kini ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Malaysia boleh "bertukar pada bila-bila masa".

Ketika ditanya mengapa tumpuan menarik ahli parlimen BN kepada Pakatan Rakyat ditumpukan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata "itu urusan suami saya."

"Saya juga tidak pasti bila mereka akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi kita tidak paksa mereka.

"Sesiapa yang nak masuk Pakatan hendaklah atas niat meninggalkan parti perkauman dan menegakkan keadilan," tambahnya.

Ahli parlimen Permatang Pauh berkata, bagaimanapun, Pakatan memberikan lebih keutamaan kepada usaha mengukuhkan barisan pembangkang dahulu.

Semalam ketua umum PKR Datuk Seri Anwar berkata, beberapa ahli parlimen BN di Sabah telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan sedang menunggu masa sesuai, selewat-lewatnya pertengahan September.

"Apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa. Ahli-ahli parlimen ini belum pun mengangkat sumpah di parlimen (lagi). Kami bukanlah tergesa-gesa," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu dalam lawatan ke negeri itu, semalam.

Menurutnya, mereka dijangka menyertai bila-bila masa sama ada, termasuk bulan depan, hari kemerdekaan (31 Ogos) atau hari ulang tahun pembentukan Malaysia (16 September).

"Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," katanya.

Azizah mula diuar-uarkan sebagai calon perdana menteri sejak pertengahan bulan ini apabila suaminya, yang dianggap pemimpin de facto pembangkang, tidak menjelaskan bila akan bertanding dan menang kerusi parlimen dalam satu pilihanraya kecil.

Semalam, bagaimanapun, Anwar meramalkan beliau akan menjadi perdana menteri "dalam tempoh tiga tahun ini".

Katanya, tiada jangka masa jelas tentang tarikh beliau akan memegang jawatan itu tetapi meramalkan tempohnya "tidak sampai tiga tahun lagi".

"(Tetapi) saya bukannya tergesa-gesa," katanya.

No comments

Powered by Blogger.