Raja DR. NAZRIN Perkenan ANGKAT SUMPAH EXCO PERAK 29 Mac Ini

PEMANGKU Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini memperkenankan istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak diadakan pada Sabtu ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Raja Datuk Seri Mansur Raja Razman dalam kenyataan ringkasnya hari ini berkata, Majlis Angkat Sumpah berkenaan akan dilaksanakan pada pukul 11 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Majlis istiadat angkat sumpah dilangsungkan setelah 12 hari Menteri Besar Perak baru, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah jawatan pada 17 Mac lalu.

Sebelum ini, beliau yang dijadualkan mengumumkan barisan Exco kerajaan campuran pada 21 Mac lepas, menangguhkannya tiga hari kemudian tetapi sekali lagi ditangguhkan.

Mohammad Nizar memberi alasan penangguhan itu dibuat bagi memperkemaskan barisan Exco yang mengandungi enam wakil DAP; tiga daripada PKR dan dua Pas di samping menunggu perkenan daripada pihak istana.

Sebelum itu, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata, majlis angkat sumpah itu diadakan pada 24 Mac dan beliau akan dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar Perak I, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sementara itu, menurut laporan Bernama hari ini, Mohammad Nizar berkata, kerajaan campuran di negeri ini masih menunggu perkenan Sultan Perak bagi mengadakan upacara angkat sumpah barisan Exco yang dijangka diadakan pada minggu depan.

Formula barisan Exco kerajaan campuran Perak yang telah dipersetujui iaitu enam daripada DAP, tiga PKR dan dua Pas akan terus dikekalkan.

Katanya, pihaknya yakin langkah berkenaan tidak akan membawa sebarang masalah kerana ia hasil persetujuan secara bersama walaupun pembahagian jawatan Exco tidak mewakili komposisi kaum di negeri ini.

Tegasnya, dakwaan kononnya bangsa Melayu akan terpinggir jika enam ahli exco terdiri daripada wakil rakyat DAP hanyalah satu mitos.

‘‘Walaupun kita di Perak berlainan agama, bangsa, budaya dan latar belakang, tetapi kita bersatu hati,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.