Akademi Fantasia ke-6, Faisal akan 'berdakwah' atau 'didakwah'?

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | Mar 23, 08 | 10:48:27 am MYT
Semalam, buat pertama kalinya penulis menonton rancangan Akademi Fantasia setelah enam musim rancangan itu dianjurkan stesen televisyen berbayar Astro.

Bukan mahu mencuci mata, sebaliknya penulis terpanggil dengan khabar kehadiran seorang yang didakwa sebagai penyanyi nasyid yang menyertai Akademi Fantasia ke-6 (AF6) selepas beberapa tahun lalu Asmawi Ani (Mawi) memulakan langkah menyanyi lagu-lagu nasyid sebagai pertaruhan bakat dalam AF.

Malangnya kini suara nasyid Mawi kurang kedengaran, dan fenomena Mawi sudah agak hilang bisanya, apabila pencetus fenomena baru dalam dunia hiburan itu dikaitkan dengan beberap gossip panas.

Itu kisah Mawi yang kini masih lagi menjadi antara penyanyi pujaan anak muda dan juga yang tua akibat auranya satu ketika lalu.

Kini Mohammad Faisal Abdullah (21) adalah antara yang menjejaki Mawi untuk mempertaruh bakat nyayiannya dengan menggunakan lagu Nasyid untuk tatapan khalayak pengirim SMS dan pengkritik Af-6.

Semalam adalah pentas pertama Faisal menunjukkan bakat dengan membawa lagu yang pernah didendang oleh Ustaz Asri Ibrahim (Asri Rabbani) yang bertajuk 'Satu Kiblat Yang Sama'.

Dalam profilnya di laman web Akademi Fantasia tidak pun menyebut latar belakang beliau sebagai penyanyi atau anggota kumpulan nasyid tertentu.

Ada sumber yang menyatakan bahawa Faisal adalah anggota sebuah kumpulan nasyid, namun selepas penulis melayari web milik sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan Faisal mendapati muka salah seorang anggota kumpulan itu memang sama seperti Faisal.

Penulis bagaimanapun tidak mendapat maklumat lanjut kerana gerbang web kumpulan tersebut tidak dapat diakses sepenuhnya.Cuma yang ada hanya satu mesej dalam kolum sms yang dikirim seorang peminat kumpulan nasyid tersebut yang berbunyi 'Salam, betul ker salah sorang dari anggota ...(nama kumpulan nasyid tersebut) akhi Faisal masuk AF6????".

Hingga kini tiada sebarang jawapan mengesahkan keanggotaan Faisal atau tidak dalam kumpulan nasyid tersebut.

Berbalik kepada isu nyanyian Faisal yang dikritik hebat oleh para pengkrtitik antaranya Ning Baizura, OGY Ahmad Daud dan Ajai yang lansung menolak persembahan Faisal.

Mungkin satu kejutan kepada Faisal kerana nyanyiannya dikritik hebat, namun apa rahsia disebalik penyertaannya dalam AF mungkin hanya Allah dan Faisal sahaja yang mengetahuinya.

Kerja dakwah bukan mudah, seorang rakan yang baru pulang dari Jordan mengikuti pengajian Syariah peringkat Sarjana (Master) di sana ada memberitahu penulis bahawa, kini kelompok pendakwah bukan hanya perlu berdakwah di masjid-masjid tetapi mensasarkan dakwah di tempat yang mana kelompok yang perlu dirawat.

Namun rakan penulis tidak pun menyebut mana-mana tempat yang dimaksudkan.Terfikir penulis bahawa adakah kemungkinan pendekatan ini yang digunakan Faisal untuk berdakwah?

Jika inilah hasrat Faisal, penulis mungkin boleh tabik dengan beliau, namun beliau perlu meletakkan kebimbangan dengan arus yang mengalir dalam AF sebagaimana yang dipertontonkan kepada khalayak dimana terdapatnya pergaulan yang agak bebas antara lelaki dan perempuan.

Itu tidak termasuk soal menutup aurat atau isu-isu lain yang mungkin terselindung di balik tirai AF yang tidak terlihat.

Atau mungkin, kelompok muda yang meneruskan irama nasyid kini seperti Faisal tidak lagi yakin dengan irama nasyid untuk dipertaruhkan untuk menjadi ladang dakwah dan tempat meneruskan bakat seni yang sedia ada.

Lihat sahaja apa yang terjadi kepada nasib Faizal Tahir (bekas anggota kumpulan nasyid Miwarna) yang digam akibat membuka baju dalam satu konsert di sebuah stesen televisyen swasta.

Faizal Tahir menyertai One In A Million pada tahun 2006 kini meniti arus 'getir' meskupun telah menempa kejayaan dalam albumnya yang pertama, namun semuanya tidak menjadi apabila Allah menurunkan ujian kepadanya mungkin kerana tersasar dari apa yang pernah dinasihatkan dalam lagu-lagu dakwah semasa bersama Miwarna.

Kini Faisal pula menyertai AF satu rancangan yang cukup mendapat kritikan daripada penceramah-penceramah bebas tentang pergaulan bebas yang tersedia dalam rancangan ini.

Mungkin ia ujian kepada Faisal(Af-6), namun seharusnya bakat nasyid yang dimiliki beliau digunakan sebaiknya untuk menjadi anak muda yang meneruskan cita-cita penasyid terdahulu yang kini masih terus berdakwah dan diminati ramai.

Antaranya, Munif Ahmad (Hijjaz), Nazrey Johaney (bekas Raihan) dan Ustaz Akhil Hayy Rawa, selain melihat bakat baru yang cukup popular seperti Inteam, Castury, Unic, Saffone dan Now See Heart.

Semua mereka ini masih menggunakan lapangan nasyid sebagai wadah untuk mengasah bakat sedia ada selain berdakwah kepada ummah.

Penulis terus berharap agar Faisal memiliki kekuatan untuk berdakwah di AF-6 namun turut bimbang apakah Faisal mampu melaksanakan misi dakwah atau sebaliknya beliau akan didakwah dengan 'doktrin huburan barat' yang kini mula membayangi artis-artis Malaysia.

Terpulang kepada kebijaksanaan dan sejauh mana keikhlasan Faisal untuk meletakkan dirinya sebagai 'entiti' yang wujud untuk terus bernasyid.

Kisah Faizal Tahir menjadi pengajaran kepada penasyid, dan ia mungkin boleh dijadikan iktibar kepada Faisal yang kini menyertai Af-6.Sama-sama renungkan.

No comments

Powered by Blogger.