Kenyataan Hamid Othman menyimpang dari Islam

Oleh Awang Harun

KUALA TERENGGANU, 29 Jan (Hrkh) – Kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman (foto) berhubung pelaksanaan hukum hudud dalam negara Islam menyimpang jauh daripada ajaran Islam.Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, pelaksanaan undang-undang Islam termasuk hukum hudud merupakan ciri sebuah negara Islam.

Menurutnya, undang-undang Islam yang merangkumi hukum hudud mesti dilaksanakan di dalam pemerintahan Islam.

Ini, kerana katanya ia adalah perintah Allah dan Rasulullah yang mempunyai nas qat’i di dalam al-Quran dan hadis.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hamid dalam sebuah akhbar kelmarin bahawa penilaian sama ada negara ini mengamalkan Islam sepenuhnya ataupun sebaliknya tidak wajar dilihat daripada satu isu sahaja.
Sebagai contoh kata Abdul Hamid, hukum hudud yang mahu dilaksanakan di negara ini tidak sepatutnya dijadikan isu besar kerana ia bukan tuntutan fardu ain.
“Kenyataan Abdul Hamid itu jauh menyimpang daripada Islam, kalau nak mengampu pun tidak sepatutnya beliau yang mempunyai pendidikan agama membuat kenyataan seperti itu,” ujarnya yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat.


Tambahnya, Hamid juga perlu menyedari bahawa negara ini masih mengekalkan dasar sekular dan pemerintah yang ada menolak dan menentang pelaksanaan undang-undang Islam.
Justeru katanya, adalah tidak wajar sama sekali bekas menteri itu membuat kenyataan sedemikian yang mengelirukan masyarakat Islam di negara ini. - mns

No comments

Powered by Blogger.